Hujung minggu lalu, Proton R3 menempuh satu lagi perlumbaan mereka di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) iaitu pusingan ketiga, Malaysia Championship Series (MCS) 2019. Pada sesi shakedown yang dilakukan pada hari Khamis, 12 Julai minggu lalu, kami telah diundang secara eksklusif ke pit nombor 15, bukan sekadar untuk melihat bagaimana sayap perlumbaan rasmi Proton itu bekerja, malah turut berkenalan dengan lebih rapat bersama pasukan berkenaan.
Selain dari watak-watak penting dalam R3 seperti Prinsipal Pasukan, Gary Lee dan juga pemandu-pemandu seperti James Verappan serta Mitchell Cheah, kami juga sempat berkenalan dengan senjata utama R3 buat masa sekarang iaitu kereta lumba Touring Saga, Iriz dan Suprima S yang dibina untuk perlumbaan MCS kategori MTC dan juga Sepang 1000 KM (S1K).
Menurut regulasi kategori MTC, jentera yang bertanding perlulah dibina dari kereta produksi empat tempat duduk, menggunakan enjin asal tetapi boleh diubahsuai, dengan kapasiti 1,401 cc hingga 1,600 cc, tanpa pengecas turbo.
Untuk versi standard yang dijual di bilik pameran, ketiga-tiga model ini menggunakan enjin yang sama iaitu enjin S4PH Twin Cam 16 injap Proton, cuma ia hadir dengan spesfikasi berbeza – Saga dalam versi 1.3 liter, Iriz 1.6 liter NA dan Suprima 1.6 liter turbo. Jadi untuk versi perlumbaan ini, ketiga-tiganya menerima enjin sama, dengan spesifikasi sama iaitu 1.6 liter NA.
Seperti yang disebut dalam undang-undang tadi, kapasiti maksimum untuk kategori ini adalah 1.6 liter, dan tiada perubahan ukuran silinder untuk ini, kekal dengan dimensi bore 76 mm dan stroke 88 mm. Tetapi segala isi perut enjin-enjin S4PH berkenaan telah dirombak semula dengan resipi rahsia Proton R3, dan spesifikasi seperti aci sesondol, aci engkol dan sebagainya tidak boleh didedahkan.
Jika dilihat pada pandangan mata kasar, enjin tersebut nampak kelihatan hampir sama dengan enjin S4PH standard pada bahagian luar. Apa yang boleh kita nampak hanya sistem ekzos dan sistem kemasukan udaranya yang diubahsuai. Tetapi jika anda perasan sistem pengurusan enjin Motec M800 bersama sistem Data Logger ADL Dash 2 yang diletakkan pada sebelah dalam kokpit, anda pasti boleh agak enjin tersebut bukan biasa-biasa.
Menurut Gary Lee, ketiga-tiga enjin perlumbaan dalam perut kereta-kereta lumba tersebut kini menghasilkan sekitar 200 hp. Tanyalah mana-mana mekanik yang biasa melakukan pengubahsuaian enjin, betapa susahnya untuk mendapatkan 30% kuasa tambahan dari sebuah enjin standard tanpa mengusik kapasiti silinder dan menggunakan pengecas turbo. Tetapi enjin yang diusik oleh R3 ini telah mengekstrak hampir sekali ganda dari jumlah asal!
Enjin-enjin tersebut bukan sahaja diubahsuai untuk laju, ia juga direka untuk bertahan lama. Dalam perlumbaan S1K misalnya, kesemua kereta tersebut dihenyak dengan putaran setinggi 7,000 hingga 8,000 rpm dalam perlumbaan sejauh sekitar 1,000 km. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan, lengkap bersama LSD 1.5 hala.
Bukan sahaja enjin, malah dari aspek kejuruteraan lain, R3 nyata mempunyai tahap yang cukup tinggi. Saya yakin, kerangka kosong Iriz R3 ini yang lengkap dengan rollcage enam point, jika diletakkan disebelah kerangkan kosong Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport yang juga lengkap dengan rollcage, pasti sukar untuk percaya sebuah dihasilkan di Shah Alam dan sebuah lagi buatan Bakewell, UK.
Kelengkapan lain yang turut dipadankan pada kerangka kereta-kereta lumba ini termasuk roda stereng dari Momo, tempat duduk perlumbaan Recaro TS-G lengkap dengan tali pinggang keledar 5 poin Beltnick bersama pedal box dari Willwood. Di belakang, tangki petrol asal ditukar kepada tangki perlumbaan 60 liter dari ATL yang turut hadir dengan sistem pengisian semula jenis Dry-Break. Untuk pengetahuan anda, kesemua kereta lumba R3 ini tidak menggunakan petrol perlumbaan, tetapi masih disuap dengan petrol RON97 sama seperti yang boleh anda beli di mana-mana stesen minyak Petronas.
Kesemua kereta-kereta ini masih menggunakan konfigurasi suspensi yang sama seperti model-model standard – Topang McPherson pada bahagian hadapan, manakala di belakang sistem torsion beam untuk Iriz dan Saga, multilink untuk Suprima S. Ini adalah menurut undang-undang MTC yang menyebut bahawa konfigurasi sistem tersebut perlu kekal sama dengan versi produksi sebenar.
Namun penyerap hentak asal telah ditukar, menggunakan sistem Ohlins TTX dan geometri pada suspensi berkenaan boleh dilaras bagi disesuaikan dengan keadaan litar dan karekter yang dimahukan oleh pemandu. Kalau anda perasan, walaupun bahagian belakang Iriz dan Saga R3 ini masih menggunakan torsion beam, ia mempunyai sudut camber yang lebih negatif dari standard. Bagaimana ia dilaras? Mudah, sama seperti geng-geng ‘Myvi Kengkang’ buat iaitu menggunakan pelapik atau spacer dengan sudut camber dimahukan, diletakkan di antara suspensi dan hab roda.
Untuk sistem brek pula, kereta-kereta lumba ini menggunakan sistem perlumbaan lengkap dari Alcon menampilkan cakera 294 mm bersama angkup empat silinder di hadapan dan cakera 295 mm dengan angkup dua omboh di belakang. Ia turut dibina dengan sistem aliran udara untuk menyejukkannya, dan pemandu boleh melaras agihan kuasa membrek antara hadapan dan belakang hanya dari dalam kabin.
Angkup dan cakera brek berkenaan berselindung disebalik set rim asli Proton R3 dengan saiz 15-inci X 7jj. Ia dibalut dengan tayar yang diwajibkan oleh penganjur perlumbaan iaitu Yokohama Advan Neova AD08 bersaiz 195/50R15. Rupa luaran untuk ketiga-tiga kereta lumba ini juga tidak jauh berbeza dengan kereta-kereta standard yang berada di atas jalan raya. Ia hanya menerima splitter udara tambahan yang direka sendiri oleh R3, bersama livery perlumbaan dengan warna perak-kuning-biru R3.
Ketika sesi shakedown tempoh hari, Proton R3 turut memberikan kami peluang untuk ‘Taxi Ride’ kereta lumba berkenaan di Litar Sepang, dengan dipandu salah seorang pemandu rasmi mereka iaitu James Verappen. Saya sebenarnya teringin untuk merasai duduk di dalam Iriz R3 setelah melihat bagaimana Farique Hairuman ‘membelasah’ kereta tersebut dengan mengambil selekoh secara amat agresif, namun hanya Suprima yang mempunyai tempat duduk penumpang pada hari tersebut.
Tetapi dengan Suprima berkenaan pun sudah cukup untuk memberikan saya pengalaman tiga lap yang cukup bermakna di Sepang. Karekter enjin Suprima tersebut sangat menakjubkan, respon yang diberikan cukup padu, bersama jeritan rpm tinggi yang begitu mengasyikkan.
Dinamik pemanduan juga amat mengujakan saya – Suprima tersebut nampaknya sangat ‘taat’ dengan segala kemahuan James, ia ‘melekat’ sekiranya dimahukan, tetapi tidak mempunyai masalah untuk ‘membuang’ bahagian belakang di tempat sepatutnya. Satu lagi yang saya turut kagum adalah bagaimana James membrek – kuasa membrek memang cukup kuat, anda akan terhumban kehadapan hanya sekali pada braking point setiap selekoh, tetapi selepas itu kawalan pedal dapat dirasakan sangat lembut, tepat dan lancar – tabik spring!
Kehadiran Proton R3 ke Sepang untuk MCS hujung minggu lalu, seperti biasa akan memberikan impak kepada perlumbaan. Kali ini strategi berbeza ditunjukkan oleh R3 – Mitchell Cheah yang baru pulang dari Jerman kerana menyertai kejohanan TCR di sana kini memandu Suprima S secara berseorangan, tidak lagi berpasangan dengan James untuk memandu Saga. Manakala pasangan pelumba Johor, Farique Hairuman dan Syafiq Ali masih kekal memandu Iriz.
Strategi tersebut nampaknya membuahkan hasil – Mitchell memenangi perlumbaan pertamanya bersama R3 pada Race 1 yang berlangsung pada hari Sabtu, manakala untuk Race 2 pada hari Ahad, Farique dan Syafiq berjaya memintas Mitchell untuk dinobatkan sebagai juara, sementara James turut melintasi garisan penamat pada kedudukan podium bagi membolehkan R3 menyapu bersih kedudukan 1-2-3!
Source: Read Full Article