Mazda 3 2019 ditunjuk secara rasmi – sedan dan hatchback; SkyActiv-X hibrid; GVC Plus, i-Activsense

Selepas beberapa ketika Mazda memberi petunjuk kehadiran model Mazda 3 serba baru, akhirnya model berkenaan kini diperkenalkan secara rasmi di LA Auto Show 2018. Sama seperti sebelumnya, Mazda 3 serba baru ini ditawarkan dalam dua versi, sedan-empat pintu dan juga hatchback lima-pintu. Nampaknya, ia meminjam banyak ilham dan sentuhan dari Kai Concept.

Menurut Mazda, model terbaru ini menjadi penanda aras dan permulaan era baru bagi jenama itu. Ia antara lain menampilkan penambahbaikan drastik terhadap keseluruhan aspek sesebuah kendearan, merangkumi prestasi pemanduan, NVH, kesan terhadap persekitaran serta kualiti yang dipamerkan.

Di bahagian depan, rekaannya bonetnya lebih panjang dan dipadankan dengan gril depan yang hadir dengan bentuk lebih agresif; dengan dua perincian rekaan yang berbeza. Lampu utama juga lebih kurus, sementara rekaan bahagian bawah bampar mengambil ilham terus dari Kai Concept.

Di antara model sedan dan hatchback juga terdapat kelainan; hatchback lebih menampilkan kesegaraan penggayaan baru, manakala sedan dengan pendekatan dan imej yang lebih elegan – dengan jelmaan lanjutan terhadap KODO Design yang diterapkan sebelum ini.

Sama seperti apa yang pernah ditunjukkan melalui Vision Coupe, Mazda kini tidak lagi menggunakan garis-garis ketara pada badan kenderaan akan datang yang dihasilkan. Mazda 3 ini turut menampilkan pendekatan itu, dengan bahagian badan dibentuk dengan lebih linear, menjadikan peralihan antara cahaya dan bayangnya mewujudkan “vortex effect” seperti apa yang dapat dilihat antara lengkung tayar depan dan belakang.

Dari sisi ini juga, perbezaan antara sedan dan hatchback dapat dilihat dengan jelas, terutamanya kehadiran C-Pillar yang besar pada versi hatchback yang tidak dimiliki oleh model sedan disebabkan ruang bootnya yang lebih besar – sekali gus memberikan kelainan yang tersendiri untuk membezakan kedua-duanya.


Lampu belakang model ini pula datang dengan rekaan bulatan di dalamnya; berbeza jauh daripada model generasi ketiga ketika ini. Bahagian bawah bampar kedua-dua kereta ini adalah mirip, dengan sedikit kelainan pada bahagian sisi ruang pemenang nombor plat dan reflektor/lampu kabus. Selain itu hatchback menerima ekzos berkembar, manakala sedan hadir dengan ekzos tunggal.

Di dalam, pendekatan yang ingin ditawarkan oleh Mazda ialah “less is more”; rekaan lebih ringkas tetapi bermanfaat. Antara perkara yang diperkenalkan ialah rekaan papan pemukanya terbahagi kepada dua bahagian, dengan skrin infotainmen 8.8-inci diletakkan di lapisan atas.

Ini berasingan daripada tombol kawalan penghawa dingin. Agak menarik pendekatan yang ditengahkan pada model terbaru Mazda 3 ini, sarat dengan inovatif rekaan yang berbeza. Konsol tengah pula menempatkan kawalan bagi sistem infotainmen, tombol gear dan perehat lengan. Selain itu, khusus bagi model hatchback, rekaan dalaman dalam warna Burgundy diberikan, sebagai padanan kepada emosi dan suasana rekaan luaran dan dalamannya.


Selain rekaan baru, Mazda 3 serba baru ini juga menerima platrform generasi baru SkyActiv-Vehicle Architecture yang lebih kukuh, enjin SkyActiv dan termasuk unit SkyActiv-X. Mazda 3 serba baru ini merupakan model produksi pertama Mazda yang turut akan ditawarkan dengan enjin SkyActiv-X terbaru ini.

Bergantung kepada pasaran, beberapa pilihan enjin lain turut akan ditawarkan. Ini termasuk unit 1.5 liter, 2.0 liter dan 2.5 liter SkyActiv-G petrol sebelum ini yang telah dipertingkatkan. Ini melibatkan kemaskini terhadap bahagian intake port dan bentuk omboh, penyuntik minyak terpisah serta injap kawalan coolant untuk memberikan prestasi dinamik, penjimatan minyak serta mesra alam pada tahap yang baru.

Tidak ketinggalan ialah enjin diesel SkyActiv-D 1.8 yang kini turut ditawarkan bagi model Mazda 3. Ini melibatkan penggunaan multi-hole piezo injectors dengan maklum balas tinggi untuk disesuaikan dengan tekanan tinggi, dan mengawal dengan tepat suntikan pelbagai peringkat. Ini menjadikan enjin diesel berkenaan lebih bersih, jimat dan senyap.



Pilihan transmisi pula termasuk manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan, dengan kehadiran sistem pacuan semua roda Mazda i-Activ serta gandingan sistem G-Vectoring Control yang turut melengkapi model ini.

Bagi sistem gantungan, bahagian depannya menggunakan jenis MacPherson struts manakala di belakang menggunakan jenis torsion beam dengan pembangunan baru. Struktur kerangka baru ini menurut Mazda menggunakan logam dengan ketahanan 30% berbanding kerangka sebelum ini yang hanya pada kadar 3%. Ini menyumbang kepada pengukuhan dan meningkatkan keselamatan sekali gus.

Ciri keselamatan aktif Mazda i-Activesense turut diberi peningkatan, dengan sistem Pemantauan Pemandu yang memanfaatkan kamera infrared dan LED untuk menilai keadaan pemandu. Tambahan lain termasuk Front Cross Traffic Alert (FCTA) dan Cruising & Traffic Support (CTS) – ciri kawalan cruise berkelajuan rendah.

Source: Read Full Article