Mazda telah mengumumkan bakal memperkenalkan SUV kompak baharu di Geneva Motor Show tahun ini, yang mungkin merupakan CX-3 generasi kedua.
Model “misteri” ini akan menjadi barisan generasi baharu syarikat ini yang kedua, dan ia dibangunkan dengan SkyActiv-Vehicle Architecture. Malah ia juga akan mengadaptasi falsafah rekaan Kodo yang terkini, yang telah diaplikasikan oleh Mazda 3 generasi ke-empat.
Bersama pengumuman ini, Mazda turut menyebarkan teaser bahagian belakang SUV baharu ini, yang mempunyai sedikit persamaan dengan model semasa CX-3. Walau bagaimana pun, jika perasan, SUV baharu ini mempunyai garisan bumbung yang lebih mengalir untuk penampilan yang lebih lebar.
Gambaran paling jelas melibatkan lampu belakang yang disambung dengan grafik berbentuk bundar di antaranta, yang lebih kurang sama pada model semasa CX-5. Turut kelihatan ialah bar lampu di antara kluster yang bersambung ke lampu belakang – dengan logo Mazda kelihatan sedikit pada bahagian ini.
Di bawah bonetnya, Mazda berkata campuran enjin pembakaran dalaman SkyActiv akan ditawarkan, termasuklah enjin penyalaan mampatan SkyActiv-X. Walau bagaimana pun, Mazda belum mengesahkan perincian selanjutnya untuk model baharu ini, dan ada juga yang mendakwa ia mungkin CX-4. Apa pun, kita akan tahu selanjutnya bila Geneva Motor Show berlangsung pada Mac ini.
Source: Read Full Article