Tiada perkembangan dilaporkan berkenaan proses homologasi FIA untuk ke WRC bagi jentera rali Proton Iriz R5 yang sebelum ini dikatakan akan menerima kelulusan pada bulan ini, namun semalam laman Facebook dan Instagram Mellors Elliot Motorsport (MEM) mengumumkan bahawa mereka kini sudahpun menyiapkan sebuah Iriz R5 pertama dengan kedudukan pemandu sebelah kanan (RHD).
Seperti diketahui sebelum ini, satu-satunya Iriz R5 yang telah pun membuat kemunculan sulung di Goodwood Festival of Speed tahun lalu, dipandu oleh Oliver Mellors dalam pelbagai rali domestik di UK adalah dari versi pemanduan sebelah kiri. Menurut MEM, Iriz R5 RHD ini dibina untuk pelanggan mereka tanpa menyatakan siapa pemiliknya – harap-harap ia akan bertanding di Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) yang salah satu pusingannya adalah di International Rally of Johor (IROJ), Malaysia.
Selepas menjadi juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed 2017, Iriz R5 mencapai kedududukan podium di Malton Forest Rally 2017, juara di Grizedale Stages Rally 2017 dan mempertahankan takhtanya sebagai juara Rally Stage Goodwood FOS 2018. Selain Ollie Mellors, jentera ini juga pernah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.
Proton Iriz R5 dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.
Dalam laporan Motorsport News UK sebelum ini menyatakan sekiranya Iriz R5 berjaya dalam homologasi FIA, ia bakal bertanding di pusingan pertama WRC tahun hadapan iaitu Monte Carlo Rally 2019 yang dilangsungkan Januari ini.
Source: Read Full Article