Mercedes-AMG hasilkan enjin empat silinder turbo paling berkuasa di dunia dengan 416 hp, 500 Nm tork

Mercedes-AMG cukup berbangga dengan prinsip “satu enjin, satu orang” mereka, dan ia diteruskan dengan enjin baru M139 yang akan digunakan untuk A 45 berasaskan W177 akan datang. Enjin ini diangkat sebagai enjin empat silinder turbo paling berkuasa untuk model produksi, dan menggantikan unit M133 yang digunakan pada A 45 sebelum ini. Mereka juga mempunyai catatan kuasa untuk menyokong dakwaan ini.

Bagi versi paling berkuasa, enjin 2.0 liter seberat 160.5 kg ini mampu menghasilkan 421 PS (416 hp) pada 6,750 rpm dan 500 Nm tork dari 5,000 rpm. Jumlah ini adalah khas untuk A 45 varian S, yang juga pengecas turbo twin-scroll padanya mempunyai tekanan lebih tinggi (2.1 bar).

Model “asas” pula menggunakan tekanan 1.9 bar, menghasilkan 387 PS (382 hp) pada 6,500 rpm dan 480 Nm dari 4,750 rpm. Sebagai perbandingan, enjin M133 sekadar mampu mengeluarkan kuasa maksimum 381 PS (375 hp) pada 6,000 rpm dan 475 Nm dari 2,250 rpm. Enjin baru ini juga mempunyai nisbah mampatan lebih tinggi iaitu 9.0:1, berbanding 8.6:1 sebelum ini. Kemudiannya, tahap maksimum pusingan enjin ditingkatkan kepada 7,200 rpm (sebelum ini 6,700 rpm pada M133).

Mercedes-AMG juga bersungguh-sungguh untuk memastikan terdapat perbezaan yang jelas antara model A 35 dan A 45 baru, di mana A 35 masih menggunakan enjin M260 sama seperti A 250 tetapi versi talaan kuasa 306 PS (302 hp) dan 400 Nm tork.

Enjin M139 baru ini juga telah dipusing 180 darjah supaya pengecas turbo serta manifold ekzos menghadap ke belakang manakala bahagian intake pula menghadap ke depan. Dengan ini, salur udara dapat dijadikan lebih pendek dan tidak banyak gangguan.

Pada unit pengecas turbo itu sendiri, ia mempunyai perumah turbin yang menggunakan dua salur selari, dan bersambung dengan salur berasingan pada manifold ekzos. Ini sekaligus membenarkan edaran angin ekzos dimasukkan secara berasingan ke dalam turbin. Tetapan ini mengelakkan sebarang kesan negatif daripada silinder berbeza waktu kitaran beban. Turut digunakan adalah roller bearing pada turbo untuk mengurangkan geseran dan membantu ia sampai ke tahap maksimum 169,000 rpm.

Aspek lain enjin baru ini termasuk crankcase aluminium, crankshaft besi forged, piston aluminium forged (dengan saduran Nanoslide) serta baffle plate untuk takung minyak bagi memastikan pelinciran yang baik waktu pemanduan bersemangat. Kedudukan muncung injector dan palam pencucuh turut diubah supaya bersesuaian dengan injap ekzos yang lebih besar berbanding enjin M133.



Perincian teknikal enjin M139 baru ini tidak berakhir di situ. Pada tahap bebanan rendah awal, direct injection digunakan, tetapi untuk mencapai kuasa maksimum, suntikan tambahan pada intake manifold turut dibuat, menggunakan injap solenoid.

Sudah tentu, dengan kuasa sebanyak ini, sistem penyejukan turut dinaik taraf. M139 dipasang dengan dua radiator iaitu satu di hadapan seperti biasa dan satu lagi di dalam lengkung roda, dengan pam elektrik untuk menggerakkan bendalir penyejuk. Penyejukan minyak transmisi juga disepadukan pada laluan penyejuk enjin dan dibantu dengan penukar haba yang dipasang pada transmisi tersebut.

Mercedes-AMG juga memberitahu pakej teknologi enjin empat silinder ini akan mempunyai sistem pengurusan alternator, fungsi start/stop dengan penghidup pantas, penapis petrol dan fungsi meluncur (melibatkan transmisi klac berkembar kenderaan ini, yang telah disahkan oleh CEO Mercedes-AMG, Tobias Moers sebagai unit lapan kelajuan).

Source: Read Full Article