Mercedes-Benz telah memperkenalkan satu lagi varian untuk model GLE, yang dipanggil sebagai GLE 580 4Matic, dan ia akan menyertai varian lain seperti GLE 450 4Matic dan GLE 53 4Matic+ yang lebih kepada prestasi. Varian baru ini datang dengan enjin V8 berserta bantuan elektrik, sama seperti GLS 580 4Matic.
Di bawah bonetnya terdapat enjin V8 biturbo 4.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa 483 hp dan 700 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Meskipun ini bukan model AMG, enjin V8 tersebut masih mampu menghasilkan lebih kuasa berbanding enjin enam silinder turbo 3.0 liter berserta bantuan elektrik pada GLE 53 (429 hp dan 520 Nm).
Membantu enjin V8 biturbo 4.0 liter ini adalah sistem hibrid ringkas dengan starter generator bersepadu (ISG). ISG ini bertanggung jawab untuk fungsi seperti EQ Boost, di mana 21 hp dan 249 Nm kuasa tambahan dapat diberi kepada pemandu, serta sistem penjanaan semula kuasa. Sistem yang menggunakan tetapan 48 volt ini juga berfungsi untuk sistem lain seperti pam air dan compressor pendingin hawa.
Sebagai tambahan, kenderaan ini juga dilengkapi dengan sistem E-Active Body Control, yang boleh mengawal kadar serapan dan spring untuk setiap roda, bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa serta prestasi baik atas jalan offroad. Buat masa ini, Mercedes-Benz masih belum mendedahkan prestasi penuh serta penggunaan bahan api model baru ini.
GLE 580 4Matic akan mula dijual di Amerika Syarikat hujung tahun ini, dengan tanda harga yang bermula USD76,800 (RM322,068). Kelengkapan yang diberikan standard adalah suspensi udara Airmatic dengan penyerapan adaptif, balutan kulit dan pakej luaran AMG Line. Pada papan pemuka juga terdapat skrin paparan 12.3 inci, yang disambungkan kepada sistem Mercedes-Benz User Experience
Source: Read Full Article