Anak kepada lagenda Formula 1 Micheal Schumacher, Mick Schumacher nampaknya bakal mengikut jejak langkah ayahnya untuk menyertai pasukan F1 dari Itali, Scuderia Ferrari.
Mick yang kini berumur 19 tahun menandatangani kontrak untuk menyertai Ferrari Racing Academy sebaik sahaja pulang dari Race of Champion di Mexico City. Jadi dengan ini, Mick bakal berlumba dalam siri Formula 2 untuk tahun ini bersama dua lagi rakan sepasukan iaitu Callum Ilott and Giuliano Alesi.
Seperti juga ayahnya, Mick memulakan kariernya sebagai pelumba bermula dengan perlumbaan kart sejak tahun 2008. Beliau kemudian naik ke ADAC Formula 4 pada tahun 2015 dan selepas itu Formula 3 Eropah pada 2017. Mick akhirnya berjaya bergelar juara Formula 3 untuk perlumbaan musim 2018 bersama pasukan Prema Racing.
Mengimbas kembali kejayaan ayahnya, Micheal menyertai Scuderia Ferrari pada tahun 1996 setelah bergelar juara dunia untuk pasukan Benetton pada tahun 1994 dan 1995. Misinya dalam pasukan tersebut adalah untuk mengembalikan gelaran juara pemandu untuk Ferrari kerana kali terakhir pasukan itu mengecapinya adalah menerusi Jody Scheckter pada tahun 1979.
Schumi kemudian berjaya melakukannya malah bersama rekod yang sangat hebat dengan mempertahankan kejuaraannya dari tahun 2000 hingga 2004, membolehkan dia bergelar juara dunia dengan rekod sebanyak tujuh kali, sekaligus diiktiraf sebagai pemandu Formula paling berjaya sepanjang zaman.
Source: Read Full Article