Selain dari Lancer Evolution yang mendominasi Kejuaraan Rali Dunia (WRC) pada era 90’an dahulu, ‘The Three Diamond‘ turut terkenal dengan reputasi SUV Ladder Frame mereka iaitu Pajero pada perlumbaan rali rentas negara Paris-Dakar (kini dikenali sebagai Rali Dakar) bermula dari tahun 1985.
Pajero mula menyertai Rali Paris Dakar bermula pada tahun 1983, dan mengecapi gelaran juara pertamanya pada tahun 1985. Sehingga tahun 2007, Pajero telah dinobatkan sebagai juara rali berkenaan sebanyak 12-kali. Saya sendiri ingat lagi betapa ‘berlagak’nya USF-Mitsubishi pada era berkenaan dengan memberikan sarung tayar gantian yang disangkut pada pintu tailgate belakang Pajero yang menyatakan penguasaan mereka dalam perlumbaan rali sejauh 10,000 km tersebut.
Namun seperti juga nasib yang menimpa pasukan rali dunia Mitsubishi, jenama tersebut turut menarik diri sepenuhnya dari Rali Dakar pada 2009 kerana krisis kewangan yang dialami.
Pada tahun 2017, pelumba wanita dari Sepanyol, Cristina Gutierrez menyertai Rali Dakar dengan Mitsubishi Pajero Evolution, dan beliau terus berlumba dalam rali berkenaan untuk musim 2018. Tahun 2019, Cristina sekali lagi akan kembali ke Dakar, kali ini pasukan Mitsubishi Motors Sepanyol menghasilkan jentera baharu untuknya iaitu Mitsubishi Eclipse Cross T1 Prototype.
“Seperti biasa apabila anda berhadapan dengan Dakar, anda lakukannya dengan harapan yang besar dan juga penghormatan yang besar kepada ujian. Objektif utama, sudah tentu, adalah untuk menghabiskan rali paling lasak di dunia, untuk kali ketiga berturut-turut,” kata Cristina.
Jentera yang dipandu oleh Cristina ini dihasilkan dari crossover segmen-B terbaharu Mitsubishi iaitu Eclipse Cross. Ia menerima ubahsuai ekstensif dengan asas casis spaceframe logam, bersama sistem suspensi double wishbone yang menempatkan penyerap hentak berkembar Öhlins Racing boleh laras sepenuhnya pada setiap hab roda.
Badan kereta rali ini pula diperbuat dari gentian karbon, dan dijana oleh enjin turbodiesel (tidak dinyatakan sesaran) menjana 340 hp dengan tork maksima 686 Nm. Kuasa berkenaan akan diagih ke setiap roda menerusi kotak gear sequential enam-kelajuan, kemudian ke sistem pacuan empat roda yang menggunakan unit differential mekanikal pada bahagian tengah, dan juga unit-unit LSD pada gandar hadapan dan belakang. Ia turut dilengkapkan bersama sistem brek dari AP Racing, dengan angkup brek empat-omboh pada setiap tayar.
“Bagi saya, ia merupakan perubahan yang sangat besar berbanding (jentera) tahun-tahun sebelum ini. Anda boleh berlumba dengan sangat laju dengannya, dalam masa yang sama ia sangat mudah dipandu dan mempunyai kebolehan pemanduan permukaan lasak yang lebih bagus. Ia kereta paling hebat yang pernah saya pandu serta sangat menarik perhatian!” respon Cristina terhadap jentera baharunya itu.
Adakah Cristina Gutierrez akan mencatatkan keputusan yang baik dalam Rali Dakar 2019? Perlu diingat, Jutta Kleinschmidt iaitu wanita pertama di dunia yang menjuarai Rali Dakar, memandu Mitsubishi Pajero Evolution pada tahun 2001 bagi mencapai gelaran tersebut.
Rali Dakar 2019 akan berlangsung di Peru bermula 6 hingga 17 Januari, dengan lebih dari 10 peringkat yang merangkumi perjalanan sejauh 5,000 km dan 70 peratus perlumbaan akan berlangsung pada permukaan padang pasir.
Source: Read Full Article