Mitsubishi Triton facelift 2019 – kemunculan sulung global di Thai, 6-kelajuan auto, muka Dynamic Shield

Selepas berberapa kali imej teaser disiarkan, akhirnya trak pikap Mitsubishi Triton facelift 2019 kini telah membuat kemunculan sulung peringkat globalnya di Bangkok, Thailand. Model generasi kelima yang disegarkan semula ini sememangnya ditunggu-tunggu kerana akhirnya Triton menerima muka Dynamic Shield seperti Pajero Sport.

Walau bagaimanapun, rupa muka Triton baharu ini adalah lebih unik dan tersendiri berbanding Pajero – ia lebih moden dan kearah seperti Mitsubishi Xpander dan juga SUV Eclipse Cross.

Garis pada bonet depan kini lebih tinggi dari model terdahulu, manakala lampu hadapan bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam pada trak pikap ini direka nipis. Lampu-lampu berkenaan dihubungkan antara kedua-duanya dengan gril dua bar baharu. Bagi menyerlahkan rupa Dynamic Shield berkenaan, perumah lampu kabus direka lebih menyerlah bersama kemasan krom yang tebal.

Skid plate dengan kemasan perak satin turut diberikan bagi melengkapkan muka trak pikap baharu ini. Tiada perubahan pada bahagian pintu, namun sisi Triton disegarkan dengan pemadanan set rim 16-inci baharu. Pada bahagian belakang, model ini diberikan lampu belakang LED yang direka dengan grafik seperti air meleleh. Secara keseluruhan rupa luaran Triton kini hampir menyerupai versi konsepnya – GR-HEV – yang muncul pada Bangkok Motorshow 2013.

Penyegaran turut dibuat untuk bahagian kabin. Suis-suis kawalan dan liang penghawa dingin kini direka semula, dan ia kini menerima plastik sentuhan lembut pada perehat tangan, konsol lantai dan juga tuil brek tangan bagi memberikan rasa yang lebih baik.

Mitsubishi Triton 2019 masih ditawarkan dengan dua enjin. Model varian rendah dijana enjin turbodiesel 2.5 liter empat-silinder yang ditala bagi menghasilkan dua versi kuasa iaitu 107 hp dan tork maksima 200 Nm, dan juga 134 hp tork maksima 324 Nm. Model varian tinggi pula menerima enjin 4N15 MIVEC turbodiesel 2.4 liter yang mampu menjana 179 hp pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 2,500 rpm.

Berita baik untuk mereka yang gemarkan transmisi automatik untuk Triton, model 2019 tersebut kini ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan auto bagi menggantikan kotak gear lima-kelajuan INVECS II sebelum ini. Versi manual masih menerima enam-kelajuan, namun menurut Mitsubishi, kotak gear pada trak pikap baharu ini memberikan penukaran yang lebih lancar dan halus serta memberikan pecutan yang lebih berkuasa.

Model 4WD disertakan dengan sistem Super-Select 4WD dan Easy-Select 4WD. Mitsubishi menyatakan bahawa kedua-dua sistem tersebut menawarkan cengkaman dan karekteristik optimum pada semua permukaan dan prestasi pada laluan off-road juga telah dipertingkat. Model pacuan empat roda juga menerima sistem Kawalan Menurun Bukit secara ekslusif buat pertama kali pada Triton.

Bukan itu sahaja, kini sistem 4WD tersebut turut menawarkan mod pemanduan Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock pada gear 4L. Menerusi sistem ini, kuasa enjin, transmisi dan cengkaman tayar (dikawal menerusi brek oleh komputer) akan ditala semula mengikut mod yang dipilih pemandu bagi mendapatkan prestasi off-road yang optima.



Trak pikap ini juga dibekalkan dengan cakera brek berliang dan angkup yang lebih besar pada bahagian hadapan. Ia juga kini lebih selesa menerusi set penyerap hentak dengan diameter lebih besar, yang mampu menampung lebih banyak cecair penyerap.

Sistem keselamatan juga mendapat perhatian Mitsubishi di mana ia menerima pelbagai kelengkapan termasuk Pengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic turut diberikan di mana sistem ini membantu untuk mengelakkan kemalangan yang berlaku kerana pemandu yang menekan pedal secara tidak betul semasa mula bergerak atau mengundur pada ruang sempit.

Penderia Parkir hadapan juga dibekalkan bersama Monitor Pemantau Sekeliling yang memberikan paparan 360 darjah dari sudut mata burung kepada pemandu sekiranya diperlukan.



Trak pikap Mitsubishi Triton facelift 2018 ini akan dilancarkan di Thailand 17 November ini, kemudian akan diedarkan ke 150 negara seluruh dunia. Malaysia dijangka akan menerima model ini sekitar suku pertama tahun hadapan.

Triton yang lebih hensem ini akan dipamerkan di booth Mitsubishi pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 23 November hingga 2 Disember nanti. Ia bukan sahaja akan diprebiu untuk pasaran Malaysia, malah mereka yang berminat turut boleh terus menempahnya pada acara berkenaan. Namun bagi mereka yang tidak berkesempatan ke KLIMS, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) turut akan membawa model ini ke lokasi dan tarikh di bawah:

MMM turut akan mempamerkan Triton 2019 ini di Johor Bahru pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. Lebih perincian berkenaan lokasi dan maklumat lain, anda boleh layari laman yang disediakan oleh MMM PADA PAUTAN INI.

Source: Read Full Article