Minggu lalu kita dikejutkan dengan betapa handsomenya Nissan Almera generasi baharu, dan kini ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2019 di China, Nissan mendedahkan pula sedan segmen-C baharu mereka iaitu Nissan Sylphy generasi keempat.
Seperti yang muncul pada imej yang bocor sebelum ini, Sylphy generasi baharu tersebut menampilkan rupa yang jauh lebih sporty dengan kelihatan lebih lebar, lebih rendah serta rekaan-rekaan lain yang lebih tirus. Menurut Nissan, model generasi terkini ini juga lebih aerodinamik dengan pekali geseran hanya 0.26 atau sama dengan model sport mereka iaitu Nissan GT-R R35.
Sudah tentu, Sylphy diberikan gril hadapan V-Motion sama seperti model-model baharu Nissan yang lain, bersama lampu hadapan lebih tirus, lengkap dengan lampu nyalaan siang yang diinspirasikan dari boomerang.
Bahagian sisi Sylphy ini menampilkan garis bumbung yang mengikut trend masakini – landai ke belakang – bersama garis-garis badan yang menonjolkan otot-otot. Bahagian tiang-C menerima kemasan hitam sama seperti Altima/Teana dan Almera generasi baharu, memberikan ilusi seolah-olah bumbungnya direka terapung.
Di belakang, lampu dengan grafik boomerang sekali lagi menjadi serlahan utama. Bampar Sylphy ini direka dengan kemasan seakan diffuser, tetapi menyorokkan tip ekzos disebaliknya.
Bahagian kabin juga direka jauh lebih premium dari sebelum ini, menampilkan papan pemuka dengan tiga liang penghawa dingin utama berbentuk bulat (unit ditengah khas untuk kabin belakang), dan skrin sesentuh 8-inci untuk sistem infotaimen. Pemandu menerima meter instrumen analog, namun pada bahagian tengah paparan tersebut turut menempatkan skrin TFT definasi tinggi untuk memberikan pelbagai informasi lain.
Model pasaran China ini diberikan upholsteri kulit berwarna tan yang nampak sangat premium, membaluti bahagian atas papan pemuka, panel pintu, tempat duduk (dengan liang serta elemen rekaan permata), perehat lutut dan bahagian-bahagian lain. Kelengkapan lain yang turut disertakan pada Sylphy ini termasuk hubungan telefon pintar yang lancar serta fungsi kawalan menggunakan suara.
Nissan Sylphy generasi keempat pasaran China ini dijana oleh enjin 1.6 liter NA HR16DE Gen3, iaitu versi yang diperbaharui dari enjin sedia ada. Tiada angka kuasa disebutkan, tetapi Nissan menyatakan bahawa enjin baharu ini lebih berkuasa, lebih jimat bahan api serta membekalkan kuasa lebih linear dan lancar. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik Xtronic.
Sedan ini turut menerima Integrated Dynamic Control Module iaitu sistem yang dihubungkan kepada sistem brek, yang memberikan kestabilan badan yang lebih baik selepas kereta ini dipandu pada permukaan beralun. Ia juga dibekalkan dengan Intelligent Trace Control, Intelligent Ride Control serta brek automatik sekiranya pemandu tersalah memijak pedal pendikit.
Untuk keselamatan pula, Sylphy dilengkapkan dengan pelbagai teknologi bantuan pemanduan seperti Amaran pelanggaran hadapan, Pemantau Titik Buta, Amaran Keluar Laluan, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Intelligent Driving Alert
Source: Read Full Article