Nissan X-Trail facelift dipertonton di M'sia – empat varian, 2.0L hibrid baru; harga dari RM140k-RM170k

Selepas dibuka untuk tempahan semalam, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini mempertontonkan pula model terbaru yang akan dilancarkan dijangka April nanti, Nissan X-Trail facelift terbaru. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau ingin membuat tempahan model ini, daftarkan minat anda melalui pautan ini.

Terdapat empat varian yang ditawarkan, bermula dengan X-Trail 2.0L 2WD (RM139,900), X-Trail 2.0L 2WD Mid (RM149,900), X-Trail 2.5L 4WD (RM159,900), dan spesifikasi paling tinggi, X-Trail 2.0L Hybrid (RM169,900). Namun, ambil maklum harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga anggaran dan tertakluk kepada perubahan.

Varian dengan spesifikasi paling rendah menggunakan enjin MR20DD 2.0 liter empat-silinder dengan janaan 144 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm. Pilihan enjin kedua pula hadir dengan unit QR25DE 2.5 liter dengan kuasa 171 PS pada 6,000 rpm dan 233 Nm pada 4,400 rpm. Bagi versi hibrid, ia berkongsi enjin 2.0 liter yang sama, digandingkan bersama motor elektrik dengan janaan tambahan 41 PS dan 160 Nm.

Model hibrid ini dilengkapi juga dengan ciri Intelligent Dual Clutch Control – satu motor dengan sistem hibrid selari dua-klac. Dua klac di sini merujuk kepada klac antara enjin dan motor elektrik, serta klac di antara motor elektrik dan Xtronic CVT. Dengan enjin dalam keadaan tidak aktif, SUV ini boleh meluncur dengan kelajuan sehingga 120 km/j.

Nissan X-Trail Hybrid baru ini memberikan purata kadar penggunaan minyak sebanyak 6.21 liter bagi setiap 100 km; menurut ETCM, ini yang terbaik dalam kelasnya. Apa pun, semua varian X-Trail ini diiktiraf sebagai EEV di sini. Enjin berkenaan digandingkan dengan Xtronic CVT dengan mod manual. Bagaimanapun, model hibrid ini hanya hadir dengan kapasiti lima-tempat duduk; bateri sistem hibrid menngunakan lebih ruang. Varian selebihnya kekal dengan tujuh-tempat duduk.

Dari segi penampilan, gril V-Motion baru menghiasi wajah depannya, begitu juga dengan lampu utama baru serta DRL LED. Di belakang, lampu gabungan LED dengan perumah gelap antara sentuhan baru yang diberikan. Lima pilihan warna luaran tersedia – Brilliant White, Tungsten Silver, Titanium Olive, Diamond Black dan warna baru Imperial Umber.

Kelengkapan lain termasuk sistem infotainment Navi tujuh-inci dengan Apple Carplay dan Android Auto, kerusi depan balutan kulit dengan kuasa elektrik, kemasan kulit pada papan pemuka dan penampan lutut serta paparan digital lima-inci Advanced Drive Assist pada panel instrumen.

Nissan Intelligent Mobility kini ditawarkan bagi semua varian, yang terdiri daripada ciri-ciri keselamatan standard untuk semua varian seperti Around View Monitor dengan Intelligent Moving Object Detection, Intelligent Ride Control, Intelligent Engine Brake dan Intelligent Trace Control.



Varian 2.0L Mid pula menerima ciri tambahan seperti Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Warning (BSW), Motion Activated Power Tailgate, dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Hanya dua varian teratas turut menerima ciri-ciri Intelligent Cruise Control, High Beam Assist dan Intelligent Forward Collision Warning dengan Intelligent Forward Emergency Braking (AEB).

Selain itu, tiga varian teratas menerima enam beg udara keseluruhannnya, sementara yang paling asas dilengkapi empat-beg udara – tiada lagi penawaran dua beg udara seperti sebelum ini, semuanya dipertingkatkan. Lain-lain ciri keselamatan termasuk Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), ABS dengan EBD, Brake Assist, Hill Start Assist (HSA) dan dua cagak Isofix.

Nissan X-Trail facelift ini juga datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan; ini termasuk bagi model hibrid (alat ganti sistem hibrid dan bateri). Sempena kempen pra-pelancarannya, pelanggan juga akan menerima pakej Servis Penyelenggaraan Berjadual 40,000 km atau tempoh dua tahun (yang mana dahulu). 500 kenderaan pertama yang didaftarkan pula akan menerima hadiah eksklusif bernilai RM488.

Source: Read Full Article