PANDU UJI: Ford Ranger Raptor – adakah prestasi tinggi dan ketangkasannya sepadan dengan harga?

Kalau anda pernah terserempak dengan Ford Ranger Raptor di atas jalan sebelum ini, adakah mudah untuk membezakannya dengan model Ranger biasa? Ada yang kata ia nampak tak terlalu berbeza dari varian Ranger yang lain, cuma hadir dengan sedikit kelainan dari segi kit badan dan tambahan logo “Raptor”.

Ada juga yang menyatakan, kalau betul-betul minat Ranger, varian Wildtrak 2.0L bi-turbo 4×4 yang berada satu tahap di bawah versi Raptor ini sudah memadai, dan boleh jimat banyak duit berbanding sekiranya membeli Raptor. Adakah kedua-dua varian berkenaan datang dengan penawaran yang mirip dan boleh untuk dijadikan pengganti antara satu sama lain?

Tentang harga, memang tidak dinafikan. Harga Ranger Raptor agak tinggi dari versi biasa. Ketika pelancarannya November tahun lalu, Ranger Raptor dijual pada harga bermula RM199,888. Jika dibandingkan pula dengan varian paling tinggi satu tingkat di bawahnya, iaitu Ford Ranger Wildtrak 2.0L 4×4 pula dijual pada harga RM144,888 – menjadikan perbezaan di antara keduanya kurang lebih RM55k.

Sebetulnya, Ranger Raptor merupakan model yang sama sekali berbeza jika dibandingkan dengan varian Ranger yang lain. Ia bukan sekadar melibatkan pemasangan beberapa kit badan untuk membolehkannya membawa imej “Raptor” yang lebih garang. Ini merupakan sebuah versi Raptor yang sebenar; menjadi trak pikap berprestasi tinggi yang kedua dari Ford selepas model besar F-150 Raptor yang terkenal di pasaran Amerika Syarikat. Jadi senang kata, ini Raptor tulen, bukan “celup” punya.

Maksudnya, dari luar dan dalam, atas dan bawah, serba-serbi tentang Ranger Raptor ini memang dibangunkan dari awal dan khusus hanya untuk model ini. Dengan sekali pandang sahaja sebenarnya anda akan menyedari bahawa Ranger Raptor sebenarnya memiliki badan yang lebih besar dan tinggi.

Tak perlukan masa yang lama untuk melatih mata anda mengesan perbezaan ini; jika Raptor sedang merapat dari pantulan cermin pandang belakang ketika anda memandu, kegagahan dan imej kental yang ada padanya akan cukup terserlah dan tidak dibuat-buat. Sebagai contoh, jarak kelegaan tanah Raptor ialah sebanyak 283 mm, dengan kemampuan meredah air takungan sedalam 850 mm.

Untuk rujukan, dimensi binaan luaran Ford Ranger Raptor adalah seperti berikut; 5,398 mm panjang, 2,180 mm lebar, 1,873 mm tinggi dan jarak antara roda ialah 3,220 mm. Beratnya pula ialah 2,325 kg, dengan kapasiti tangki minyak 80 liter. 1,180 liter kapasiti ruang barangan tersedia di belakang.

Bagi mendapatkan idea tentang perbezaan saiznya, bandingkan dengan Ford Ranger Wildtrak 4×4; 5,426 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,848 mm tinggi manakala jarak antara rodanya pula sama, 3,220 mm. Beratnya ialah 2,156 kg – dengan kapasiti tangki minyak yang juga sama. Dari sini kita akan dapat melihat angka-angka yang sedikit membezakan dimensi fizikal antara keduanya.

Sedikit pemerhatian terhadap bahagian luaran trak pikap ini. Dari depan, nama Ford akan terpampang dengan sangat jelas pada rekaan grilnya (dipanggil Block Ford); besar dan mengimbangi saiz keseluruhan binaan yang ada. Lampu utama menggunakan unit projektor HID automatik dari rekaan semasa untuk Ranger, dengan lampu LED bagi DRL. Lampu kabus juga dari jenis LED.

Di bahagian bawah bampar, jelas kelihatan pelapik warna perak yang melindungi bahagian bawah enjin. Dengan ketebalan 2.3 mm, lapik berkenaan berfungsi untuk melindungi bahagian-bahagian antaranya transfer case, radiator serta sistem stereng kuasa.

Beralih ke bahagian sisinya, ada dua perkara yang datang dengan rekaan khusus hanya bagi Raptor. Pertama, pemijak kaki yang ada dikedua-dua belah sisi; diperbuat daripada aluminum, ia bukan hanya bertujuan memudahkan penumpang turun-naik ke dalam kabin, tetapi turut bertindak sebagai ciri perlindungan untuk casisnya – sekiranya ia digunakan untuk tujuan off-road yang ekstrim.

Selain itu, rekaan rim dan tayar yang digunakan juga adalah spesifik untuk Ranger Raptor sahaja, tidak dikongsi dengan versi yang lain. Untuk rim, ia menggunakan saiz 17-inci dengan rekaan khusus – dengan lebar 8.5-inci. Bagi tayar pula, ia menggunakan tayar dari BF Goodrich all-terrain prestasi tinggi, juga direka khas untuk model ini, dengan saiz 285/70.

Bahagian belakangnya pula agak ringkas. Tiada sportsbar pada ruang barangan; hanya dibiarkan kosong. Soket 12V bagaimanapun ada disediakan diruang berkenaan untuk kemudahan pengguna. Rekaan lampu juga tidak banyak berbeza dari versi biasa. Tiada tulisan Ranger yang besar, tetapi digantikan oleh logo Raptor yang kecil pada pintu ruang barangan itu.

Sebagai tanda kelainan model ini, rekaan pelekat yang digunakan juga terang-terangan memaparkan nama Raptor di tepi, tambahan kepada nama kecil di belakang tadi. Dari aspek rekaan dan visual yang ada pada model ini, saya merasakan rekaan pelekat hiasan ini agak tidak kena pada tempatnya. Kurang menarik dan tidak berlaku adil kepada imej sporty dan gagah yang dibawa oleh trak pikap prestasi ini.

Untuk enjin, Raptor menggunakan unit baru 2.0L EcoBlue empat-silinder bi-turbo, yang menjana sebanyak 213 PS kuasa dan juga 500 Nm tork. Bagi transmisi, ia menggunakan kotak gear automatik baru 10-kelajuan dibina oleh Getrag dengan ciri SelectShift. Jika dibandingkan dengan model Wildtrak terdahulu, dengan enjin 3.2L Puma yang digunakan model itu, enjin baru ini memberikan kelebihan sebanyak 13 PS kuasa dan 30 Nm tork.

Mula masuk ke dalam ruang kabin, baik sebagai penumpang atau pemandu, ia akan segera menerbitkan suasana yang menyenangkan, dengan “rasa” yang boleh membuatkan anda terlupa sekejap bahawa kenderaan yang dinaiki itu sebenarnya ialah sebuah trak pikap.

Serba-serbi tentangnya dalam warna latar hitam. Perincian jahitan pula menggunakan benang biru, misalnya pada stereng Raptor, papan pemuka dan juga kerusi – yang dibalut dengan kulit. Di tengah papan pemuka pula ada sebuah skrin sentuh 8-inci dengan sistem infotainmen SYNC 3. Sistem ini turut menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk berada di dalam kabinnya sahaja sudah mampu membuatkan anda merasa sentiasa dalam keadaan selamat – casis yang kukuh dan luas. Tapi itu tidak bermakna ciri-ciri keselamatan yang lain tidak disertakan. Ini termasuk enam beg udara, sistem kemasukan pintar tanpa kunci, ABS dengan EBD serta kawalan kestabilan.

Namun, berbanding varian Wildtrak 4×4, dari sudut keselamatan, Raptor ada kekurangan; ia tidak didatangkan dengan pakej kelengkapan termaju. Yang dimaksudkan ialah senarai berikut – Forward Collision Warning (FCW), Lane Departure Warning and Assist, Semi Automatic Parallel Parking (SAPP) dan Autonomous Emergency Braking (AEB) tidak ditawarkan bagi Raptor.

Dengan enjin yang juga sama dengan unit yang pada pada Ford Ranger Wildtrak 2.0L bi-turbo 4×4, apa kelebihan lain Raptor? Aspek pemanduannya ada kelainan dan kepuasan lain yang mampu ditawarkan, walaupun datang sekali dengan sedikit “kelemahan” tersendiri. Bagi saya, pemanduan dalam bandar yang sesak dan sempit di dalam trak pikap ini akan sedikit merimaskan kerana perlu lebih berhati-hati.

Apa lagi kalau terpaksa memasuki ruang parkir dalam bangunan dengan had ketinggian yang selalu dirasakan macam agak rendah untuk Raptor, serta baki ruang di kiri dan kanan petak letak kereta sangat minimum – semua ini kerana tanggapan terhadap saiznya yang lebih besar. Walhal, ia tidaklah bermasalah sangat untuk dikendalikan, cuma kerap ada perasaan yang mendorong untuk perlu selalu berwaspada ketika berada di dalam situasi seperti itu.

Tetapi, sebaik sahaja anda meluru memasuki jalan yang terbuka, atau bersiap untuk satu perjalanan ke luar kota, serta-merta bayangan kerisauan yang dinyatakan tadi lenyap. Ketika itu juga Raptor akan membuatkan anda merasa selalu bersedia untuk apa pun, kerana anda diam-diam yakin, bahawa kenderaan yang sedang dinaiki atau dipandu itu ada kemampuan yang di luar dugaan.

Ada satu bahagian pada Raptor ini yang menjadikan pemanduan lebih tangkas dan dalam masa yang sama, sangat selesa. Yang dimaksudkan ialah sistem penyerap hentak yang digunakan – penyerap hentak Fox Shock Racing. Ini tiada pada Wildtrak, dan menjadi satu ciri unik yang ditawarkan pada Raptor. Saya merasakan sistem berkenaan sangat berkesan untuk memberikan maklum balas yang tepat, tidak kira di permukaan jalan yang bagaimana sedang anda lalui.

Misalnya, di atas jalan raya berturap, ia tidak dirasakan terlalu melantun sehingga membuatkan kita rasa letih untuk berada di dalamnya. Ia sentiasa dalam “dos” yang betul dan menyenangkan. Tetapi, ketika memasuki laluan tidak rata atau lapangan tanah merah yang beralun, ia serta-merta menjadikan Raptor sebuah trak yang tangkas dan tanpa kompromi untuk meredah permukaan itu dengan penuh gaya dan dalam cara yang paling mudah.

Dalam keadaan demikian, penyerap hentak yang sama seolah-olah bersedia untuk “didera” tanpa banyak soal. Unit Fox berkenaan memberikan tambahan 30% jarak pergerakannya (wheel travel) berbanding Ranger biasa. Maklum balas dari enjin juga seperti dalam kesatuan yang mantap. Terima kasih kepada ciri bi-turbo yang digunakan; satu “menjaga” rpm rendah dan satu lagi untuk rpm tinggi; lag pula jika ada, amatlah kecil kadarnya.

Ini ditambah pula dengan pilihan mod pemanduan; ada enam mod yang tersedia semuanya. Paling menarik tentulah Baja Mode. Namanya diambil sempena Baja 1,000 Dessert Race; ini saja sudah jelas membayangkan apa yang boleh dilakukan. Dalam mod ini, respon keseluruhannya akan bertambah, manakala kawalan cengkaman pula akan dikurangkan. Ini membolehkan anda untuk lebih mudah “membuang” ekor trak pikap ini.

Jika ingin merasakan keseronokannya, cuba pandu sendiri mod ini dipermukaan berpasir atau tanah lapang dan bersedia untuk senyum lebar. Lima lagi mod lain yang tersedia terdiri daripada Sport, Grass/Gravel/Snow, Mud/Sand, Rock dan Normal. Semuanya untuk memenuhi keperluan pemanduan pada permukaan atau situasi yang berbeza.

Dalam bahasa mudah, Ford Ranger Raptor adalah sebuah jentera prestasi dari barisan model trak pikap penumpang paling popular keluaran Ford ini – jika F-150 Raptor terlalu bagak, Ranger Raptor ini sedang-elok. Dan, lebihan harga yang anda bayar itu adalah semata-mata untuk tahap prestasi itu. Di satu ketika, ia boleh saja dipandu seperti biasa untuk tujuan seharian. Tetapi dalam sekelip mata, ia boleh bertukar menjadi sebuah jentera buas yang penuh kejutan.

Saya sangat menikmati setiap detik yang diluangkan bersama trak ini. Cuma, saya sendiri tidak pasti, jika anda mengeluarkan duit sendiri untuk membayar harga yang dikenakan, sudah tentulah Raptor ini tidak akan sewenang-wenangnya akan dilenjan habis-habisan – kerana sayang. Tetapi, jika sekadar untuk penggunaan yang biasa-biasa, terasa seperti membazir pula, kerana tugas itu boleh saja digalas dengan cukup baik bahkah oleh varian paling asas Ford Ranger yang lain.

Namun, jika duit bukan masalah besar, maka sudah tentu Raptor ini akan membuatkan sesiapa saja terliur. Kalau pun tak dapat membelinya, pastikan anda sempat cuba memandu trak ini untuk mengetahui seperti apa sensasi yang boleh ia berikan. Sesudah itu, jika terpaksa kembali kepada realiti dengan menghadap trak pikap biasa yang lebih mampu dicapai oleh poket, anda tidak akan terasa terlalu ralat dan boleh tidur lena. Saya masih terbayang-bayang keseronokan ketika bersama Raptor ini.

Source: Read Full Article