Untuk pasaran tempatan, Honda merupakan antara pengeluar yang menjadi pelopor paling konsisten dalam memperkenalkan model-model kenderaan hibrid sejak kira-kira 10 tahun terakhir (masih ingat dengan Honda Insight?). Bagi tempoh setahun dua kebelakangan ini pula, ada tiga model hibrid terbaru yang dilancarkan untuk pelanggan di sini.
Dua daripadanya diperkenalkan pada 2017, iaitu Honda City Hybrid dan juga Honda Jazz Hybrid (turut dikenali dengan nama Sport Hybrid i-DCD). Ia bersekali dengan pengenalan versi facelift bagi kedua-dua model berkenaan, dengan tambahan satu varian terbaru bagi model hibrid.
Kini, di tahun 2019, Honda Malaysia sekali lagi menggunakan pendekatan yang sama. Pengenalan SUV kompak Honda HR-V facelift terbaru turut menghadirkan sekali tambahan penawaran bagi versi hibrid. Ia menjadi SUV kompak hibrid yang pertama dipasarkan di sini dan lebih menarik, Malaysia menjadi negara pertama di luar Jepun yang menerima model berkenaan secara rasmi.
Bagaimanapun, Honda HR-V Hybrid 1.5L DOHC i-VTEC ini bukanlah penawaran dengan spesifikasi paling tinggi model berkenaan. Ini kerana, daripada empat varian yang ditawarkan (semuanya dengan pilihan enjin 1.8L sama seperti sebelum ini), versi hibrid berada di tangga kedua di bawah varian HR-V RS yang datang dengan senarai kelengkapan dan kemasan lebih tinggi berbanding model hibrid. Dua lagi varian ialah V dan yang paling rendah, E.
Honda Malaysia tentunya mempunyai alasan tersendiri mengapa model hibrid ini tidak dijadikan sebagai model dengan penawaran spesifikasi paling tinggi seperti yang biasa kita lihat, misalnya oleh jenama lain. Mungkin kerana varian RS membawa imej yang lebih sporty dan garang, dan HR-V memang ingin dipandang atau ditempatkan di dalam imej seperti itu.
Tetapi, Honda HR-V Hybrid sebenarnya langsung tidak ketinggalan jauh di belakang. Malah, dari beberapa aspek, ia mempunyai lebih banyak kelebihan. Ini termasuklah dari sudut prestasi, walaupun sekadar dilihat di atas kertas. Jadi, adakah versi hibrid ini memberikan lebih nilai sekiranya anda memang sudah lama berhasrat untuk memiliki HR-V?
Kami tak akan menjawab soalan itu untuk anda. Sebaliknya, di dalam laporan ini, kita akan menyingkap lebih terperinci berkaitan model hibrid ini berdasarkan pengalaman pandu uji di Langkawi yang sempat kami sertai baru-baru ini. Sama ada model hibrid ini punyai banyak kelebihan dan sesuai untuk kegunaan anda atau tidak, itu anda tentukan sendiri.
Apa yang membezakan antara HR-V Hybrid dan versi enjin petrol yang biasa? Paling jelas, ia menggunakan enjin 1.5 liter berbanding unit 1.8L yang pernah kita lihat sebelum ini pada HR-V. Tetapi, enjin 1.5L DOHC i-VTEC ini pula bukanlah terlalu asing; model hibrid bagi Honda City dan Jazz yang ada dipasaran tempatan menggunakan unit yang sama. Adakah output kuasanya juga sama?
Jawapannya tidak. Walaupun dengan kapasiti enjin yang serupa, unit 1.5L yang digunakan pada HR-V Hybrid ini sebenarnya berbeza dalam maksud ia kini hadir dengan ciri suntikan terus yang tidak ada pada dua model sebelumnya itu. Ini menjadikan daya outputnya lebih tinggi daripada dua lagi model terdahulu itu.
Kita tinjau dulu sudut janaan kuasa yang dimiliki oleh HR-V Hybrid ini. Unit enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 132 PS pada 6,000 rpm serta tork sebanyak 156 Nm pada 6,600 rpm. Dan jangan lupa, disebabkan ia menggunakan sistem hibrid, janaan kuasa enjin turut dibantu oleh motok elektrik; ia menyediakan kuasa tambahan 29.5 PS dari 1,313 rpm hingga 2,000 rpm serta 160 Nm tork dari sifar hingga 1,313 rpm.
Gabungan kedua-dua unit janaan kuasa ini memberikan kuasa keseluruhan yang dimiliki ialah sebanyak 152 PS dan 190 Nm tork. Menurut Honda, angka ini adalah menyamai janaan kuasa yang biasanya dihasilkan oleh enjin 2.0L. Ini sekaligus menjadikan Honda HR-V Hybrid ini mempunyai output kuasa yang paling tinggi di antara semua empat varian dalam penawaran terbarunya (mengatasi janaan kuasa enjin 1.8L).
Diperhatikan dari sudut ini, ia bahkan berada paling depan berbanding model City dan Jazz hibrid yang diperkenalkan sebelum ini. Oleh sebab itu, seperti yang disebutkan tadi, angka-angka prestasi di atas kertas saja memang sudah meletakkan HR-V Hybrid ini sedikit terkehadapan dalam keluarga kenderaan hibrid oleh Honda ketika ini.
Untuk menyalurkan kuasa dari enjin, transmisi klac berkembar (DCT) 7-kelajuan digunakan. Ini satu lagi faktor yang membezakan versi hibrid daripada versi biasa yang menggunakan kotak gear jenis CVT. Apa kelebihan transmisi DCT ini?
Secara ringkasnya, ia lebih responsif dan menyediakan pertukaran gear yang sangat lancar. Paling penting, tak ada rasa kuasa lambat sampai. Dan, ini juga yang menyumbang kepada kelainan watak pemanduan dan kendalian yang diberikan oleh versi hibrid ini, yang tak ada pada HR-V 1.8L biasa.
Oleh sebab itu, tak berlebihan jika ingin disifatkan HR-V Hybrid ini mempunyai nilai dan prestasi tersendiri, yang sebenarnya melebihi penawaran pada varian lainnya. Ini segera dapat dirasa sebaik sahaja anda cuba memandu ujinya.
Seperti yang kami sempat rasakan ketika sesi media di Langkawi tempoh hari, model hibrid ini tidak mengewakan. Selepas kagum dengan prestasi pemanduan Jazz Hybrid dan City Hybrid yang diperkenalkan sebelum ini, HR-V Hybrid dalam penampilan terbarunya ini mengunjurkan tahap berkenaan satu lagi tingkat di atas.
Tidak silap, HR-V Hybrid ini masih lagi sebuah kereta keluarga dengan segala kelebihannya, sebagai contoh kepintaran rekaan dalaman yang membolehkan anda mengangkut segala macam barangan yang dikehendaki dengan mudah, serta mampu menempatkan penumpang dalam keadaan sangat selesa kerana aspek pengurusan ruang yang sangat baik.
Namun, dengan HR-V Hybrid ini, ia akan memberi satu lagi kelebihan, kali ini kepada pemandu. Jika dengan HR-V 1.8L yang sempat dicuba dahulu, ia tidaklah terlalu mengujakan mungkin kerana satu sebab; transmisi CVT yang digunakan. Kedua berkaitan talaan sistem suspensi yang ada; ia dirasakan agak lembut mungkin kerana perlu disesuaikan untuk mengutamakan keselesaan berbanding ketegapan pemanduan.
Kedua-dua hal ini telah diselesaikan melalui penawaran HR-V Hybrid ini. Seperti dinyatakan, dari aspek prestasi, model ini bahkan menjadi yang paling tinggi dalam barisan varian HR-V facelift yang ada kini. Manakala, berkaitan sistem suspensi pula, menurut Honda, walaupun masih menggunakan sistem yang sama, versi hibrid ini ada melibatkan perbezaan talaan komponen berkenaan. Mengapa?
Mudah sahaja. HR-V Hybrid ini ada pertambahan peralatan bagi sistem hibridnya. Sebagai contoh, bateri lithium-ion yang digunakan akan melibatkan pertambahan kepada berat keseluruhan kereta ini.
Jadi, talaan semula sistem suspensi diperlukan, mengambil kira tambahan beban yang terlibat – sistem gantungan itu kini dirasakan sedikit lebih keras, dan menjadikannya lebih tegap. Ini boleh dirasakan terutamanya ketika mengambil selekoh; pemandu tak perlu ragu-ragu atau terasa olengan badan yang berlebihan, walaupun kapasiti penumpang tidak terisi sepenuhnya.
Perlu juga ambil maklum, disebabkan ruang yang diperlukan untuk kelengkapan sistem hibrid berkenaan, bahagian ruang barangan di belakang turut berkurangan sedikit. Bagaimanapun, kapasiti ruang barang yang mampu ditampung tetap antara yang terbaik berbanding pesaingnya. Ada 404 liter (kurang 30 liter berbanding HR-V biasa) tersedia dalam keadaan kerusi belakang ditegakkan, dan boleh ditambah dengan merebahkan penyandar kerusi yang ada jika perlu.
Satu lagi perkara yang perlu juga disebutkan ialah butang Sport yang terletak di konsol tengah. Dalam mengendalikan kereta ini, memang anda akan kerap sedar bila waktunya ia akan berfungsi dalam mod elektrik sepenuhnya. Sebagai contoh, ketika ingin mula memandu, ia akan jadi begitu senyap tanpa kehadiran fungsi enjin.
Begitu juga ketika anda sedang bergerak dalam kelajuan santai yang sekata, sistem akan merehatkan enjin dan membiarkan kereta dijana oleh motor elektrik semata. Tapi, jika sekali-sekala anda merasa bosan dengan situasi pemanduan seperti itu dan ingin membakar lebih banyak minyak, jangan malu-malu untuk tekan butang Sport berkenaan dan nikmati pemanduan yang lebih bernyawa dengan HR-V Hybrid ini.
Rasa penyampaian kuasanya yang lancar dan segera, serta ketagapan badan dan kawalan sterengnya yang jitu – versi hibrid ini bukan sekadar watak tempelan dalam barisan penawaran Honda Malaysia. Saya secara peribadi sangat seronok sepanjang pengalaman memandu uji model ini tempoh hari. HR-V menjadi bertambah pelbagai kemampuannya, apatah lagi faktor pengendalian kini telah membuatkan SUV kompak ini lebih menyeronokkan untuk pemandu ketika dalam masa yang sama, penumpang kekal selesa.
Untuk saya, kekurangan yang mungkin ada pada kenderaan ini ialah kelengkapan penawaran yang diberikan. Seperti dinyatakan di atas, versi hibrid ini bukanlah varian paling tinggi ditawarkan. Ia terletak satu tahap lebih rendah berbanding HR-V RS 1.8L yang tampil dengan gaya yang lebih ranggi dan garang serta sporty.
Menarik untuk melihat model hibrid ini datang dengan pakej yang lebih eksklusif dan premium, sesuai dengan teknologi yang dipertaruhkan. Namun, tidak sukar juga untuk memahami mengapa Honda Malaysia mengambil langkah ini; barangkali mereka ingin berikan capaian yang lebih mudah dan menjadikan teknologi hibrid lebih mampu milik kepada pelanggan baru yang mungkin ingin mencubanya.
Memang segmen SUV kompak ketika ini ada beberapa lagi model pesaing yang tak kurang menarik, misalnya Mazda CX-3 dan juga Toyota C-HR, tetapi masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Cuma, tak ada model hibrid lain dalam segmen yang sama. Dan, dengan harga RM120,800, anda perlu memberi perhatian kepada model ini sekiranya anda sedang mempertimbang untuk membeli mana-mana kenderaan lain dalam julat harga yang sama.
Untuk bateri tak perlu risau, jaminan lapan tahun ada disediakan. Dan, kalau inginkan penampilan yang lebih menarik untuk HR-V, pilihan pakej aksesori yang ada ditawarkan sentiasa terbuka untuk memenuhi kehendak anda. Paling tidak, anda perlu cuba pandu HR-V Hybrid ini dahulu dan bandingkan dengan model-model lain yang setara. Lepas itu, kongsikan pandangan anda dan nyatakan sama ada apa yang kami nyatakan ini betul atau tidak.
Source: Read Full Article