PANDU UJI: Mercedes-AMG C 63 S Coupe 2019 – dentuman V8 turbo berkembar 4.0 liter ala-Jerman!

Secara jujur, saya kurang berminat dengan model-model coupe dua-pintu Mercedes-Benz terkini yang berasaskan model-model ‘limosine’ (panggilan Merc terhadap model-model empat pintu mereka) seperti C-Class dan E-Class. Entah, pada mata saya sendiri, bahagian but yang agak bulat pada model-model tersebut seakan macam tidak kena dengan muka signatur terkini jenama premium Jerman ini.

Kena pula dengan model-model ‘asas’ seperti C200 Coupe atau E200 Coupe, lagilah saya semacam ‘tak boleh pergi’. Bukan apa, badan kereta tersebut direka dengan elemen mendebarkan, tapi pemanduannya tak cukup ‘umph’ sebagai kereta sport (lebih seakan kereta mewah) dan dirasakan tidak selari dengan praktikaliti yang berkurang dek kerana ketiadaan dua pintu untuk penumpang belakang.

Tapi, rasa kurang senang saya dengan model-model Coupe ini lenyap sekiranya ia hadir dengan lencana asli Mercedes-AMG dari kilang, diberikan oleh fasiliti yang terletak di Affalterbach, Jerman. Lihat sahaja Mercedes-AMG C 63 S ini – bagi saya, ia sudah cukup sempurna, garang dan cukup untuk mata anda tertangkap sekiranya berselisih dengannya.

Ini adalah model facelift 2019 yang baru sahaja tiba ke pasaran Malaysia pada awal Mei lalu, menampilkan pelbagai kelengkapan dikemaskini dari model asal yang telah berada dalam pasaran tempatan sejak 2016. Dari luar, paling menyerlah untuk membezakan model baharu ini dengan sebelumnya adalah pada gril hadapan.

Gril berkenaan digelar sebagai Panamerica Gril – identiti terkini untuk Mercedes-AMG, yang turut diberikan pada model teratas mereka, Mercedes-AMG GT. Ya, saya tidak berminat dengan rupa belakang C-Class Coupe biasa. Tetapi C 63 Coupe ini direka dengan ruang roda lebih lebar, yang pada saya baru ngam dengan bentuk but dan juga lampu belakang berkenaan.

Dari sisi belakang, anda alihkan pandangan sedikit demi sedikit ke bahagian muka kereta ini – dengan penutup bonet yang berotot, pipi yang lebih tembam, lampu seakan mata yang merenung garang dan juga liang udara besar pada bampar seolah-olah tersenyum jahat, C 63 S ini seakan haiwan liar yang bersedia untuk menerkam mangsanya bila-bila masa.

Badan yang kelihatan begitu tegap ini disempurnakan dengan pemadanan rim asli AMG pelbagai jejari 19-inci di hadapan (dibaluti tayar 255/35R19) dan 20-inci di belakang (dengan tayar 285/30R20). Rim pada model Coupe ini agak unik berbanding model C 63 S Sedan kerana ia menampilkan bukan sahaja jejari berbeza, malah ia turut tampil dengan ‘bibir’ yang lebih padan dengan badan, menambahkan lagi imej tegap pada kereta ini.

Tambah pula dengan set-set brek AMG dengan cakera yang ditebuk berdiameter besar dan juga angkup gergasi (enam-silinder di hadapan) dengan serlahan warna merah bersama perkataan ‘AMG’, C 63 S Coupe ini kelihatan laju walaupun tidak bergerak.



Unit yang saya dapat ini berwarna hitam, atau dalam brosur ia warna tersebut dinamakan sebagai Obsidian Black Metallic. Ia nampak garang, tetapi dengan warna ini kit-kit aero dari material gentian karbon nampak kurang menyerlah – sekali tengok anda mesti tak perasan bahawa spoiler pada bampar hadapan, sirip pada skirt sisi dan juga diffuser belakang diperbuat dari bahan ringan tersebut kan?

Kereta ini sebenarnya saya terima untuk dipandu uji pada cuti Hari Raya Aidiladha yang lalu; dua pilihan diberi, sebuah SUV berkuasa tinggi, atau kereta sport dua pintu dengan enjin sebesar enjin lori ini – saja saya memilih kereta ini untuk ‘merasa’ bagaimana beraya dengan kereta yang pada asasnya tidak praktikal ini, lebih-lebih lagi sebagai seorang ayah.

Masuk ke kabin, anda akan disambut dengan tempat duduk ‘bucket’ AMG. Tidak ada keselesaan pada tempat duduk ini, ia kurang kusyen dan bagi yang berbadan besar seperti saya, hendak keluar masuk pun ada sedikit sukar kerana ‘tebing’ di sebelah peha anda juga di reka tinggi bagi mengelakkan kedudukan punggung anda bergerak ketika mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi.

Bermasalah? Bergantung pada penerimaan anda – saya sendiri walaupun menghadapi kesukaran, saya sukakan tempat duduk berkenaan kerana mengetahui apa tujuan ia dipasang pada kereta ini.



Untuk masuk kabin belakang, kedua-dua tempat duduk hadapan larasan elektrik ini mempunyai tuil pada bahagian belakang sebelah luar – hanya perlu ditarik dan tolak perehat badan kehadapan, kemudian tempat duduk ini akan menggelongsor secara automatik kehadapan. Tiada masalah untuk meletakkan tempat duduk kanak-kanak pada bahagian belakang, dan saya juga tidak menghadapi kesukaran untuk memakaikan tali pinggang keledar mereka pada tempat duduk tersebut, dengan ruang yang diberikan cukup untuk berbuat demikian.

Cuma, kalau nak bawa ibu ayah anda untuk duduk di belakang ada sedikit sukar – anda perlu membongkok dan melalui ruang yang agak sempit dan pastinya sukar dilakukan bagi mereka yang telah berusia. Namun, tiada sungutan dari isteri berkenaan ruang but, kerana coupe ini dibekalkan dengan bahagian kargo berkapasiti 400 liter, lebih kurang sama seperti sedan biasa.

Berbeza dengan model asal, versi facelift ini menerima paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci bagi menggantikan meter-meter analog. Untuk menukar mod pemanduan, talaan suspensi dan juga untuk mematikan sistem program kestabilan elektronik (ESP), anda tidak perlu teraba-raba lagi untuk mencari suis di konsol tengah, ini kerana suis-suis berkenaan telah ditambah pada roda stereng AMG ini, siap dengan skrin kecil bagi memaparkan pilihan yang dipilih.

Setiap kali enjin kereta ini dihidupkan, anda perlu lihat reaksi muka orang-orang yang sedang lalu lalang disekitar kereta ini – sebaik butang suis penghidup enjin ditekan, ia akan dimulakan dengan ‘bunyi ledakan’ V8 keluar dari empat corong ekzos di belakang yang pasti membuatkan orang terkejut.

Mercedes-AMG C 63 ini dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo berkuasa 510 PS dan tork maksima 700 Nm. Ini adalah enjin baharu dengan kod M177 yang mula digunakan pada generasi ini, bagi menggantikan enjin ‘AMG 63’ V8 6.2 liter NA berkuasa 457 PS dengan kod M156 pada model generasi sebelumnya.

Walaupun enjin baharu ini menghasilkan kuasa yang lebih besar dengan bantuan turbo, ia sudah tentu kurang ‘berkarekter’ jika dibandingkan dengan enjin dengan kapasiti lebih besar sebelum ini. Jadi, selain menghasilkan enjin turbo dengan penghantaran kuasa dan respon seakan enjin NA, ia juga menerima sistem ekzos khas yang digelar sebagai ekzos AMG Performance.

Dalam sistem ekzos ini, anda boleh memilih sama ada ia beroperasi secara senyap, atau mengaktifkannya bagi memberikan bunyi V8 yang sangat mengujakan. Tiga flap atau injap diletakkan sepanjang sistem ekzos berkenaan bagi merubah bunyinya. Flap pertama diletakkan dalam satu paip pada bahagian tengah yang menghubungkan laluan ekzos yang datang dari omboh sebelah kiri dan juga sebelah kanan. Manakala dua lagi flap diletakkan dalam dua buah muffler paling belakang.

Sebaik sahaja anda menekan butang ekzos AMG Performance ini atau mengubah mod pemanduan ke Sport, Sport+ atau Race, flap pertama akan membuka laluan untuk menghubungkan aliran kedua-dua ekzos manakala dua flap di belakang akan merubah aliran gas dari paip biasa ke paip yang lebih besar – seterusnya menghasilkan bunyi yang sangat garang.

Jika memandu sebuah model AMG sebenar, memang bukan keputusan bijak untuk memandu dengan mod Sport di atas jalan raya sekitar Lembah Klang. Ini kerana kuasa yang akan dibekalkan adalah sangat tajam, dan sukar untuk anda mengawalnya untuk dikekalkan pada kelajuan rendah. Malah dalam mod Comfort sekalipun, kaki kanan anda perlu benar-benar lembut untuk memandu kereta ini bagi mengelakkan ia tersenguk-senguk jika dipandu perlahan.

Rasanya tak perlu diulas banyak berkenaan bagaimana rasa kuasa lebih dari 500 hp/700 Nm ini, cukup anda bayangkan bagaimana kuasa dari Perodua Myvi, didarabkan dengan lima. Dengan sekali ‘pepah’, badan pergi dulu, jantung tertinggal di belakang – ia akan mengundang senyuman kepada pemandu, dan mungkin jeritan terkejut dari muncul dari mulut penumpang sebelah.

Menurut Mercedes-AMG, kereta ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 290 km/j. Oh ya, model facelift ini juga menerima kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G baharu, bagi menggantikan kotak gear tujuh-kelajuan pada model 2016.

Kuasa yang cukup besar ini hadir sekali dengan casis yang diberikan suspensi yang cukup mantap. Agak bahaya sebenarnya untuk menguji sepenuhnya pengendalian kereta ini di atas jalan raya awam. Orang lain tak tahulah, bagi saya sendiri mungkin hanya sekitar 60% hingga 70% kemampuan kereta ini yang berani saya gunakan ketika memandunya dalam laluan jalan berliku.

Dalam situasi begini, suspensi dan tayar yang lebar adalah lebih dari cukup untuk mengawal badan kereta, tanpa merasai campur tangan komputer menerusi ESP dengan kerap ketika membelasah selekoh.

Model ini tidak dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda 4Matic seperti AMG E 63 S atau AMG A 45 S. Jadi, kuasa dari enjin hanya dialirkan ke kedua-dua roda belakang. Ada LSD tak? Mesti ada, tetapi ia bukan jenis mekanikal atau hidrulik sepenuhnya, sebaliknya adalah sistem dengan kawalan elektronik yang bersepadu dengan program dinamik pemanduan AMG Dynamics.

Menerusi gandar belakang yang sangat pintar ini, tork antara roda kiri kanan diagihkan bukan sahaja dengan tepat, malah pembahagiannya sangat lancar dan nisbahnya akan berubah setiap masa mengikut situasi. Anda tidak akan terasa pergerakan atau bunyi pelik ketika membuat pusingan-U atau ketika masuk ke ruang parkir kerana ia akan berfungsi sama seperti unit karbeda (differential) bebas biasa.

Tetapi jika anda matikan sistem ESP, tekan pedal pendikit dengan agresif, bahagian belakang kereta ini tidak segan silu untuk melibas sama seperti LSD.

Suspensi Coupe ini saya rasakan keras walaupun dalam mod Comfort, tetapi bagi saya sendiri tiada masalah untuk memandunya setiap hari. Olengan badan kereta ini tipikal sebuah kereta berprestasi tinggi, sangat-sangat kurang dan tidak ada rasa ‘nak terbalik’ ketika mengambil selekoh secara agresif.

Namun, walaupun keras suspensi berkenaan tidak ‘memantul’, dan anda boleh memandu laju dan masih berada dalam kawalan di atas permukaan jalan yang beralun. Tetapi, ia tetap kalah dengan garisan kuning yang tebal di mana akan rasa getaran yang kuat dialirkan ke badan kereta.

C 63 S Coupe ini diberikan sistem stereng kuasa elektrik (EPS). Tetapi pasukan jurutera yang membina kereta ini berjaya menghasilkan sistem EPS yang mempunyai karekter hampir sama dengan sistem hidraulik. Stereng tersebut tidak terasa ‘kaku’, dan ia memberikan tindak balas yang baik untuk anda merasa keadaan jalan.

Saya selalu gembira dengan penggunaan bahan api mana-mana model Mercedes-Benz terkini – setiap kali datang mengambil kereta pandu uji, biasanya tangki petrol akan dipenuhkan, dan selepas membawanya sekitar Lembah Klang untuk mengambil gambar, kemudian bergerak ke rumah Ibu saya sekitar 120 km dari Kuala Lumpur, petrol hanya berkurang sekitar satu bar.


Namun tidak dengan enjin V8 ini – sampai di rumah selepas sesi photoshoot sahaja petrol dah kurang satu bar. Belum bergerak balik kampung lagi.

Tetapi sebenarnya anda kena pandai mengawal kuasa dari enjin berkenaan bagi mendapatkan penggunaan bahan api yang masuk akal. Enjin M177 ini sebenarnya turut dilengkapi dengan sistem cylinder deactivation, iaitu sistem yang akan mematikan fungsi empat dari lapan silinder enjin berkenaan, sekiranya anda memandu pada kelajuan malar dengan putaran enjin sekitar 3,250 rpm dan ke bawah.

Jadi dengan memandu kereta ini secara tenang di jalan bandar, dengan meminimakan kehadiran boost dari pengecas turbo, saya berjaya mendapatkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 11.5 hingga 13 liter untuk setiap 100 km.

Memandu secara tenang ini bukanlah bermaksud secara perlahan, tetapi elakkan dari menekan pedal pendikit secar agresif – dengan putaran enjin sekitar 2,000 rpm pada kedudukan gear 9, ia mencatatkan kelajuan sekitar 130-140 km/j, perlahan ke? Malah dalam pemanduan di lebuh raya, saya berjaya mencatatkan bacaan serendah 9.6 l/100 km dengan gaya begini.

Mercedes-AMG C 63 S Coupe ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM820,888. Memandangkan baru-baru ini ada social media influencer yang mengatakan Ford Mustang menjadi pilihan ramai usahawan muda yang ‘baru nak up’ kerana ia dijual baru dengan harga sekitar RM500k, apa kata anda yang berminat dengan muscle car Amerika tersebut cuba dulu C 63 S Coupe ini. Alah, harga lebih mahal dalam RM300k je (sembang gaya orang have-have).

Source: Read Full Article