PANDU UJI: Toyota Yaris 1.5 G 2019 – bakal ubah permainan pasaran hatchback segmen-B di M'sia?

Dalam industri automotif, segmen apa lagi yang Toyota tidak ceburi? Dari kenderaan komersil, kereta harian, sehinggalah model-model sport dan juga mewah, semua kalau boleh Toyota mesti ‘nak ada’. Selain dari mempunyai kualiti binaan pada produk, ini adalah salah satu sebab mengapa Toyota masih kekal sebagai gergasi paling besar dalam industri automotif Jepun.

Kehadiran Toyota di Malaysia juga begitu – jenama ini mempunyai produk hampir untuk semua orang, dari Van komersial Toyota Hiace sehinggalah kereta sport Toyota 86. Pada era 80’an dahulu, jika anda rasa Toyota Corolla terlalu mahal dan terlalu besar untuk orang bujang, ada satu lagi pilihan dengan bajet lebih rendah dan lebih bergaya iaitu hatchback kompak Toyota Starlet.

Namun dari era 90’an hingga pasca Y2K, terdapat satu lompong dalam barisan model Toyota kerana tidak lagi menawarkan model seperti Starlet. Model paling mampu milik yang mereka ada hanyalah sedan empat-pintu Toyota Vios, itu pun bermula pada tahun 2003. Tiada masalah jika orang bujang nak pakai sedan, tapi takkan dah kahwin nanti baru nak merasa pakai kereta bergaya sikit macam hatchback ye tak?

Akhirnya pada 2006, Toyota Yaris di bawa ke pasaran tempatan bagi melengkapkan kembali apa yang kurang. Tetapi, Yaris yang ditawarkan dalam versi CBU tidaklah mesra poket seperti Starlet, ia dijual pada harga bermula dari RM93k hingga RM99k!

Model Yaris yang muncul pada 2014 juga begitu, malah lebih mahal kerana varian tunggal 1.5G Automatik ketika itu dijual pada harga RM102k. Dan mungkin atas sebab ini, Yaris untuk kedua-dua generasi tersebut agak sukar untuk ditemui di atas jalanraya.

Mungkin sedar akan kepentingan segmen hatchback segmen-B ini, dan melihat bagaimana Honda Jazz yang satu ketika model CBUnya juga dijual dengan harga mencecah RM100k, tetapi kini adalah raja dalam segmen tersebut untuk jenama bukan nasional setelah dipasang di Melaka, UMW Toyota mula menyusun semula strategi.

Awal tahun ini, mereka mengumumkan bahawa Yaris akan kembali ke Malaysia dan hadir dalam bentuk CKD dengan pemasangan dilakukan di kilang baharu mereka terletak di Bukit Raja, Klang, akhirnya telah selamat dilancarkan minggu lalu dengan harga yang begitu kompetitif dalam pasaran.

Tiga varian ditawarkan untuk Yaris 2019 di Malaysia, dimulakan dengan versi asas dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM70,888, dan versi pertengahan Yaris E dijual dengan harga RM76,888. Manakala versi tertinggi Yaris G pula berharga RM83,888, atau sekitar RM18k lebih murah dari model 2014.



Jika anda perhatikan juga, harga Yaris ini benar-benar diletakkan hampir dengan Honda Jazz, di mana versi asas Jazz S dijual pada harga RM70,242, model pertengahan Jazz E berharga RM76,316, manakala versi tertinggi Jazz V pula adalah berharga RM83,633.

Anda juga perlu tahu bahawa Yaris untuk pasaran Malaysia ini bukanlah Yaris yang sama pada pasaran Eropah dan digunakan dalam kejohanan Rali Dunia (WRC), ataupun Yaris yang dihasilkan dari rebadge Mazda 3 pada pasaran Amerika Syarikat. Kita menerima Yaris untuk pasaran ASEAN sama seperti Thailand dan Indonesia, iaitu sebenarnya hatchback yang dihasilkan dari kembar sedannya, Toyota Vios.

Jadi anda jangan hairan mengapa muka Yaris ini sama dengan Vios. Ia menggunakan hampir semua komponen hadapan dari sedan berkenaan, kecuali sedikit kelainan elemen pada perumah lampu kabus dan juga penggunaan gril sarang lebah pada bampar berbanding jalur melintang pada Vios.

Perbezaan ketara antara Yaris dan Vios adalah pada tiang-C, di mana Yaris diberikan kemasan berwarna hitam pada keseluruhan bahagian tersebut membuatkan bumbungnya seakan terapung. Lampu belakang hatchback ini juga direka lebih tersendiri, dengan rekaan kluster sisi seakan Ford Focus, dan diberikan dua sirip yang seperti diambil dari Perodua Bezza.

Secara keseluruhan, bahagian belakang Yaris ini sekali tengok seakan sebuah crossover, kadang-kadang sekali imbas nampak macam Toyota Caldina pun ada. Model yang kami pandu uji dari Ibu Pejabat UMW Toyota Shah Alam hingga Janda Baik, Pahang ini adalah dari varian tertinggi 1.5 G, jadi ia tampil dengan hadapan projektor, lampu belakang LED, rim aloi dua-tona berdiameter 16-inci dibaluti tayar 195/50R16.

Ia juga diberikan kit badan opsyen berharga RM2,800 yang terdiri dari spoiler dagu pada bampar hadapan, skirt sisi, spoiler bumbung pada pintu tailgate belakang serta lips tambahan pada bampar belakang.

Saya setuju dengan pendapat sesetengah orang yang mengatakan muka Yaris ini terlalu ‘sibuk’. Tetapi apa yang membuat saya rasa Yaris ini sebuah kereta yang kacak kerana ia tampil dengan bentuk hatchback tradisional – bumbungnya tidak ditinggikan, dan panjang muncungnya juga dikekalkan.

Ini membuatkan hatchback segmen-B Toyota ini berbeza dengan saingan sekelasnya lain yang rata-rata kelihatan seperti ‘cekodok’, manakala Yaris lebih bersifat seperti hatchback pada zaman Proton Satria Neo atau Honda Civic EG tiga-pintu.



Bahagian dalaman juga boleh dikatakan disalin sepenuhnya dari Vios. Saya tertarik dengan kualiti yang diberikan Toyota dalam kabin Yaris ini. Elemen-elemen seperti kemasan-kemasan piano black pada papan pemuka dan konsol tengah, balutan kulit pada pemegang pintu, serlahan jahitan-jahitan benang biru, serta gegelang-gegelang krom dalam panel meter benar-benar menaikkan rasa premium kereta ini.

Bukan itu sahaja, paparan home screen pada unit pemain DVD-AVX, paparan kawalan untuk sistem penghawa dingin, latar belakang meter analog, serta paparan skrin TFT pelbagai informasi (MID) direka sepadan dan nampak satu aras lebih tinggi.

Dan ketika mencuba fungsi-fungsi pada skrin MID berkenaan, saya perasan yang Yaris telah diberikan satu fungsi yang sangat unik – anda boleh masukkan harga petrol semasa dalam Ringgit Malaysia, kemudian ia akan mengira berapa jumlah wang yang dapat dijimatken menerusi mod pemanduan Eco.

Bagi memberikan rasa lebih sporty pula, elemen hitam ditambah dengan lebih banyak pada Yaris ini berbanding Vios. Ia termasuk panel-panel kemasan tiang dan juga pelapik bumbung berwarna hitam, berlainan dengan Vios yang menerima warna lebih cerah pada bahagian-bahagian tersebut.



Ada orang kata, Toyota agak kedekut kerana tidak memberikan balutan kulit pada tempat duduk Yaris ini. Tetapi saya tidak memandang sedemikian kerana Yaris G ini diberikan berberapa kelengkapan standard yang lebih berfungsi dan tidak ada pada model-model saingannya seperti dashcam, kamera pemantau sekeliling pandangan panaromik 360-darjah, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan juga brek cakera pada roda belakang.

Walaupun pada pandangan mata Yaris kelihatan besar, dan atas kertas juga menunjukkan Toyota ini adalah lebih lebar (1,730 mm) berbanding Honda Jazz (1,694 mm), apa yang menghairankan, Yaris sebenarnya terasa lebih sempit di dalam. Jika anda duduk di tempat pemandu, penumpang di sebelah terasa sangat dekat.

Ruang kargo belakang juga Jazz adalah lebih besar dengan 363 liter, berbanding 286 liter pada Yaris, tetapi ia tetap lebih besar dari Perodua Myvi yang hanya berkapasti 277 liter.

Seperti juga Vios, Yaris juga dijana enjin 2NR-FE digandingkan bersama kotak gear CVT automatik. Soalan lazim, apa beza enjin ini dengan enjin 2NR-VE pada Perodua Myvi? Pertama sekali adalah pada material blok enjin, di mana enjin 2NR-FE adalah lebih ringan dengan binaan blok dari bahan aluminium, berbanding 2NR-VE pada Myvi masih menggunakan logam tegangan tinggi.

Kedua-dua enjin ini menerima mekanisma Dual VVT-i, DOHC dan juga 16-injap pada kepala selinder, tetapi saiz omboh antara 2NR-FE dan 2NR-VE ini sebenarnya berbeza, walaupun kiraan akhirnya adalah sama iaitu 1.5 liter. Enjin Toyota 2NR-FE mempunyai saiz omboh 72mm x 91.8mm dengan nisbah mampatan 10:1, manakala enjin Perodua 2NR-VE pula diberikan omboh 72.5mm x 90.6mm (lebih lebar tetapi lebih pendek) dengan nisbah mampatan 11.5:1.

Oleh itu, kedua-dua enjin ini menghasilkan angka kuasa berbeza, di mana 2NR-FE pada Yaris mampu menjana 105 hp (107 PS) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm, manakala 2NR-VE pada Myvi pula menjana hanya 102 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm.

Ketika mula memandu kereta ini, agak sukar untuk membezakannya dengan Vios. Masuk ke lebuhraya Guthrie yang kurang trafik, saya dapat rasakan bahawa pecutan Yaris ini boleh tahan juga. Tetapi jika dibandingkan denga Jazz, sudah tentu ia sedikit lambat kerana enjin 1.5 liter i-VTEC Honda berkenaan mampu meghasilkan 118 hp dan tork maksima 145 Nm.

Apa yang benar-benar mengkagumkan adalah kadar kesenyapan kabin Yaris ini dalam kelajuan tinggi, dengan bunyi tayar dan juga bunyi angin yang sangat minimum kedengaran. Tidak keterlaluan jika saya katakan senyapnya kabin Yaris ini adalah lebih kurang sama dengan sebahagian model-model dari kelas lebih tinggi iaitu segmen-C.

Dari Guthrie, kami masuk ke susur keluar untuk ke Sungai Buloh bagi meneruskan perjalanan ke Lebuhraya Karak. Jalan yang tidak rata di kawasan tersebut membolehkan kami menguji pula kadar lantunan badan ketika melalui permukaan sedemikian. Pada saya, keselesaan Yaris dalam situasi ini adalah lebih kurang sama dengan kereta-kereta segmen-B dari Asia yang lain.

Kami ke Janda Baik tidak melalui jalan utama Lebuhraya Karak, sebaliknya menggunakan jalan lama yang jauh lebih sempit dengan deretan selekoh-selekoh yang menyelerakan. Mungkin disebabkan tiada ekor di belakang, ‘kejantanan’ Yaris berbanding Vios lebih terserlah di sini.

Yaris nyata bersifat lebih tajam di selekoh, dan peralihan arah dari kiri ke kanan dapat dibuat secara cepat dan stereng memberikan respon yang baik. Ditambah pula dengan tayar Toyo Proxes R50 yang dibekalkan secara standard, gigitan pada permukaan jalan juga agak memuaskan. Satu lagi yang saya perasan, kereta ini juga masih lagi boleh dikawal ketika dipandu laju pada kawasan beralun.

Keseronokan memandu Yaris di ‘touge‘ ini turut dibantu mod Sport dan juga mod manual pada transmisi yang memberikan tujuh-kelajuan maya. Dengan menekan suis Sport (terletak di bahagian kanan bawah papan pemuka, agak sukar untuk ditekan dan terasa janggal), kotak gear CVT ini rasa lebih ‘terus’, dan membolehkan anda bermain dengan tukaran gear. Tetapi, tiada pedal penukar gear diberikan pada stereng di mana anda perlu menukarnya pada tuil penukar gear.

Setelah kenyang menikmati makan tengah hari di Twinkle Villa di Janda Baik, kami bertolak pulang semula ke Shah Alam, kali ini menggunakan Lebuhraya sebenar. Di sini, satu lagi sebab mengapa Yaris ini sekitar RM16k lebih mahal dari Myvi (model asas Yaris J berbanding Myvi Advance 1.5) saya temui.

Badan Yaris ini masih lagi kekal stabil ketika melayan selekoh menuruni bukit Lebuhraya Karak walaupun dengan kelajuan tinggi. Saya boleh mengekalkan kelajuan purata sekitar 130-140 km/j tanpa masalah sepanjang Lebuhraya berkenaan.

Yaris juga dibekalkan dengan kelengkapan keselamatan pada tahap tinggi. Kesemua varian Yaris bermula dari versi asas J datang standard dengan tujuh-beg udara, cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak di belakang, sistem brek ABS dan EBD serta lengkap dengan sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Traction dan juga Bantuan Mula Mendaki (HAC).

Apa lagi kelengkapan untuk Yaris ini untuk setiap varian? Anda boleh bacanya pada PAUTAN INI, atau pada laman Carbase.my.

Jika ditanya pada saya adakah berbaloi untuk membeli Toyota Yaris 2019 ini? Boleh saya simpulkan bahawa pakej yang disediakan adalah sangat berpatutan dengan harga yang ditawarkan. Malah ia sangat kompetitif jika dibandingkan pesaing-pesaingnya dalam segmen yang sama. Saya sendiri teruja mahu melihat prestasi jualan model ini pada masa hadapan, adakah ia mampu mengubah permainan dalam segmen hatchback segmen-B? Atau Honda Jazz masih mampu mempertahankan takhtanya?

Source: Read Full Article