paultan.org PACE 2018: Audi Q5 2.0 TFSI Quattro baharu muncul di M'sia, dilancarkan Januari 2019

Selain dari Audi Q2, Euromobil turut membawa Audi Q5 generasi baharu ke paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) yang kini sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City. Menurut wakil jualan Euromobil di sini, SUV premium berkenaan bakal dilancarkan di Malaysia pada Januari tahun hadapan, tetapi tempahannya sudah pun di buka hari ini.

Menurut mereka lagi, SUV ini akan ditawarkan dalam versi 2.0 TFSI quattro dan akan dijual “di bawah RM360k”. Jika harga tersebut tepat, ini akan meletakkan Q5 sedikit lebih mahal berbanding saingan terusnya iaitu BMW X3 xDrive30i, Mercedes-Benz GLC 250 4Matic dan Volvo XC60 T8 Twin Engine. Ia mungkin disebabkan Q5 diimport sepenuhnya sebagai unit CBU, manakala BMW, Mercedes-Benz dan Volvo adalah model pemasangan tempatan.


Versi 2.0 TFSI quattro ini menampilkan enjin petrol 2.0 liter turbo berkuasa 252 hp dan tork maksima 370 Nm, atau 41 hp/20 Nm lebih berkuasa dari Mercedes-Benz GLC 250 4Matic. Enjin yang sama seperti yang boleh ditemui pada sedan Audi A4 2.0 TFSI quattro tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S tronic, dan memacu semua roda menerusi sistem AWD quattro.

Model yang dipamerkan ini juga merupakan model yang dibawakan dari Singapura, namun ia dikatakan sama dengan versi pasaran Malaysia kelak, menampilkan ciri seperti lampu hadapan LED, rim aloi 19-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, penghawa dingin tiga-zon, paparan instrumen digital Audi Virtual Cockpit, sistem navigasi MMI plus dan MMi Touch, skrin utama 8.3-inci, kamera undur dan pintu tailgate belakang dengan sistem handsfree.

Source: Read Full Article