paultan.org PACE 2018: Volkswagen Arteon di prebiu, buat kemunculan sulung untuk pasaran Malaysia

Muncul buat kali pertama di Geneva Mac tahun lalu, tiba ke Singapura awal tahun ini, dan kini coupe empat pintu Volkswagen Arteon membuat penampilan sulungnya di Malaysia menerusi acara paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

Kereta ini belum lagi dilancarkan, sebaliknya ia adalah prebiu awal model berkenaan, dan unit yang di bawa ini adalah dari Singapura dengan spesifikasi pasaran republik berkenaan. Untuk pasaran Malaysia kelak, Arteon akan diletakkan lebih tinggi dari Passat, dan berkemungkinan tinggi mempunyai perincian yang juga lebih tinggi dari sedan segmen-D tersebut.

Untuk pasaran Singapura, Arteon hadir dengan dua varian, tetapi hanya dijana satu pilihan enjin iaitu 2.0 liter Turbo TSI berkuasa 280 PS/350 Nm. Ia digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan dan kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi sistem AWD 4Motion.

Ia juga dilengkapkan dengan Dynamic Chassis Control (DCC) yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Comfort, Sport dan Individual, serta LSD elektronik XDS. Model yang dipamerkan hari ini menerima set rim Montevideo berdiameter 19-inci.

Arteon juga menerima lampu hadapan dan belakang LED, kemasan aluminium Silver Rise, roda stereng sport balutan kulit, tempat duduk balutan kulit Nappa dengan kemasan ala-karbon bersama sulaman logo R line, lampu suasana, bumbung panaromik dan tempat duduk larasan kuasa 14-hala – namun kesemua ini masih belum disahkan akan diberikan untuk model pasaran Malaysia.

Arteon juga diberikan paparan instrumen digital Active Info Display bersaiz 12.3-inci bersama paparan head up, manakala sistem infotainmen pula dilengkapkan dengan sistem Discover Pro terdiri dari skrin sesentuh 9.2-inci, sistem audio Dynaudio 700-watt bersama 12 pembesar suara dan juga amplifier digital 12 saluran.

Walaupun model ini dijangka akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, ia mungkin hanya akan masuk ke pasaran tempatan secara rasmi pada tahun hadapan. Jadi bagi mereka yang benar-benar berminat dengan model empat pintu yang begitu menggiurkan ini, harap bersabarlah sedikit ya.

Source: Read Full Article