Bermula Januari 2019, SIRIM QAS International yang merupakan sebuah anak syarikat SIRIM Bhd akan menggunakan label keselamatan baru untuk topi keledar yang lengkap dengan kod QR untuk memudahkan pengguna untuk menyemak semula maklumat keaslian dan kualiti produk berkenaan yang dibeli.
Untuk berbuat demikian, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SIRIM QAS International dari Apple App Store atau Google Play Store ke telefon dalam telefon. Imbasan kod QR bagi setiap label pada topi keledar yang dijual akan memaparkan maklumat berkaitan status pensijilan produk serta pengeluarnya.
Selain dari ciri baru ini, pelekat sekuriti berkenaan kekal dengan nombor siri unik, penggunaan teknologi UV dan dakwat lutsinar, teks mikro, corak Guillouche (seperti yang dicetak pada duit kertas) serta penggunaan kertas berkualiti tinggi.
Ini bertujuan untuk mengelakkan penipuan atau penggunaan semula pelekat yang sama. Selepas ditampal untuk kali pertama pada produk asli, jika pelekat berkenaan ingin ditanggalkan, ia akan memaparkan tanda “Void”, menandakan ia telah diubah dan keaslian atau kualiti produk wajar diragui.
Majlis berkenaan diadakan sempena lawatan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid ke kemudahan ujian helmet di kompleks SIRIM, Shah Alam Rabu lalu. Majlis turut disertai Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Mohd. Azanuddin Salleh.
Seperkara lagi yang penting juga dinyatakan, SIRIM kini turut mempunya kemampuan dan tauliah untuk menjalankan ujian bagi pensijilan produk helmet mengikut piawaian yang dikenali sebagai UN ECE R 22.05 – Protoective Helmets and Their Visors for Drivers and Passenger of Motorcycles and Mopeds (E-Marking).
Sejak dikuat kuasakan pada 1973, SIRIM telah mula menjalankan pensijilan helmet untuk kegunaan di Malaysia dengan mengikuti standard piawaian yang dikenali MS 1. Helmet-helmet sah yang dijual ketika ini dalam pasaran tempatan menggunakan standard berkenaan. Bagaimanapun, bagi piawaian UN E-Marking yang diperkenalkan, SIRIM masih belum menerima sebarang permintaan daripada mana-mana syarikat untuk tujuan itu lagi.
Kami bercakap dengan Ketua Pensijilan Produk dan Pemeriksaan, SIRIM QAS International, Mohd. Hamim Bin Imam Mustain untuk mengetahui apa yang membezakan kedua-dua piawaian pensijilan ini. “MS 1 dan UN ECE R (E-Marking) ini menggunakan pendekatan ujian yang ada sedikit perbezaan. MS 1, seperti yang ramai tahu, adalah piawaian yang digunakan untuk standard khusus bagi pasaran tempatan. Misalnya, ujian yang dijalankan mengambil kira hal berkaitan keadaan helmet yang basah – kerana kita di Malaysia kerap hujan. Di pasaran lain, itu mungkin tidak jadi masalah,” ujar beliau.
“Bagi standard E-Marking pula, ia melibatkan set ujian yang lain, dengan kriteria yang sedikit berbeza serta dari beberapa aspek memerlukan kadar kelulusan yang lebih ketat,” tambah beliau, dan menjelaskan bahawa E-Marking ini turut diterima pakai di kebanyakan pasaran lain seluruh dunia, dan ada makmal-makmal lain di luar negara yang turut menawarkan servis pensijilan yang sama. “Jadi, sekarang ini, SIRIM menawarkan kedua-dua ujian pensijilan terbabit, dengan kemampuan serta kelengkapan kemudahan lengkap, sekiranya ada pihak dari dalam atau luar negara yang perlukan perkhidmatan itu,” tambah beliau.
Setakat ini, untuk tipo keledar, SIRIM mempunyai jumlah pelanggan terdiri daripada 11 syarikat dengan 15 lesen pensijilan yang telah dikeluarkan. Daripada jumlah itu, satu daripadanya adalah dari syarikat luar negara, iaitu jenama Arai, yang inginkan pensijilan MS 1 dari SIRIM untuk produk-produknya yang dijual di Malaysia.
Bagaimana pula dengan helmet-helmet import dari jenama lain yang banyak dijual dalam pasaran tempatan tanpa ujian pensijilan SIRIM, adakah ia menjadi kesalahan? Menurut beliau, dari sudut bidang kuasa pensijilan (perihal melibatkan urusan kastam adalah persoalan lain), itu tidak menjadi kesalahan.
“Mungkin produk-produk itu tidak mempunyai pensijilan SIRIM bagi MS 1, tetapi mereka telah melakukan pensijilan E-Marking di tempat lain sebelum di bawa masuk. Kalau itu situasinya, ia tidak jadi masalah kerana E-Marking ini juga diterima pakai di Malaysia,” tambah Hamim.
Bagi ujian helmet yang dilakukan pula, terdapat dua jenis yang dilakukan; type test dan consignment test (dilakukan secara berulang dan berterusan). Bagi ujian pertama, biasanya bagi helmet dari model baru untuk ditentukan jenisnya, empat contoh diperlukan.
Bagi ujian kedua pula, daripada satu batch 1,500 unit helmet, SIRIM akan memilih sembilan unit secara rawak untuk dijadikan contoh ujian. “Secara ringkas, antara ujian yang dijalankan termasuk ujian serapan hentaman, ujian penembusan dan ujian ketahanan tali pengikat pada dagu penunggang,” ujar beliau. Dan, sebelum setiap ujian dijalankan, contoh-contoh helmet terlibat akan dikondisikan terlebih dahulu, misalnya dengan keadaan susu berbeza, kebasahan dan sebagainnya.
Kos bagi menjalankan satu ujian lengkap bagi satu model helmet dalam satu saiz spesifik ialah sekitar RM3,000. Ketika ditanya mengapa perlu ujian berulang mengikut batch seperti yang dinyatakan sedangkan sebelum itu syarikat terbabit sudah pun diberi lesen dan pensijilan awalnya, beliau menjelaskan itu bertujuan untuk memastikan standard yang dikehendaki itu sentiasa dipatuhi pengeluar.
“Memang SIRIM sudah keluarkan lesen dan pensijilan kepada pengeluar. Tetapi, setiap helmet yang dikeluarkan itu perlukan pelabelan juga, bertujuan untuk memastikan pengeluar sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan.
“Kita ingin elakkan kes di mana sebaik sahaja lesen dan pensijilan diberikan, pengeluar beralih untuk membuat helmet yang tidak mengikuti standard sepatutnya dan dijual dalam pasaran terbuka. Ini kita tak mahu. Maka perlukan pemantauan berterusan.” SIRIM juga dari semasa ke semasa akan membeli produk terbait dari pasaran untuk melakukan ujian berasingan dan menilai tahap produk setiap pengeluar yang sudah diberikan lesen itu.
Secara ringkas, label sekuriti SIRIM – dan sekelas ini hadir dengan kod QR – adalah bertujuan untuk memudahkan pengguna mengenal pasti produk helmet yang diyakini selamat dan telah diuji. Ini langkah penting untuk mendidik pengguna, kerana di dalam pasaran terbuka, banyak lagi jenis-jenis helmet yang tidak disahkan aspek keselamatannya tetap dijual selamba. Jadilah pengguna bijak.
Source: Read Full Article