Perodua Aruz yang telah dilancarkan, setakat ini menerima 2,200 unit tempahan sejak ia dibuka pada 3 Januari lalu. Pencapaian yang agak membanggakan kerana dalam masa dua minggu tempahannya dibuka, ternyata ramai yang teruja dan tidak sabar untuk menantikannya biarpun kehadirannya di bilik pameran Perodua di seluruh negara belum kelihatan. Aruz bakal dipamerkan di semua bilik pameran Perodua di seluruh negara mulai esok.
Ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 X dan spesifikasi tertinggi 1.5 Advance, yang masing-masing berharga RM72,900 dan RM77,900 (atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia), Aruz dijangka akan meledak di pasaran. Mungkin juga mampu mengulangi kejayaan Myvi yang cemerlang daripada segi jualan.
“Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, Perodua sentiasa berusaha untuk menjadikan teknologi dan trend automotif terkini mampu milik. Dengan Perodua Aruz, rakyat Malaysia kini boleh menikmati kelebihan sebuah SUV, termasuk ciri-ciri canggih yang ditampilkan. Ini menjadikan Aruz antara SUV dengan nilai terbaik pada masa kini yang memenuhi anjakan ruang, keselamatan dan kecekapan,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Malah Perodua turut mensasarkan jualan Aruz sebanyak 2,500 unit sebulan dan dijangka ia mampu mencecah 31,200 unit menjelang akhir 2019.
Aruz yang menggunakan 95% komponen tempatan, merupakan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) keempat buatan Perodua, dan SUV tujuh-tempat duduk ini dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api terbaik dalam segmennya iaitu mencecah 15.6 km per liter.
Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol NA 1.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa 104 hp dan 136 Nm tork. Enjin 2NR-VE Dual VVT-i ini turut digunakan pada Myvi, dan dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan, yang menyalurkan kuasa ke roda belakang.
Source: Read Full Article