Keterujaan orang ramai mengenai kehadiran SUV Perodua yang dinamakan sebagai Perodua Aruz kian memuncak setelah hari ini ia mula dibuka tempahan dan harga tentatifnya telah didedahkan. Malah terdapat juga beberapa komen menarik mengenai nama Aruz, tetapi yang pasti, tentu ada alasan yang tersendiri mengapa ia menjadi pilihan Perodua.
Tak perlu nak berdebat kerana ini adalah jawapan Perodua mengenai pemilihan nama Aruz,”Ia adalah perkataan Bahasa Malaysia iaitu arus yang bermaksud “aliran”. Ia adalah simbolik mewakili “pergerakan dinamik yang sentiasa berterusan,sekaligus menunjukkan peningkatan” dan peningkatan ini pula merupakan keupayaan Aruz untuk “anjakan gaya hidup”, seperti mana slogan yang dipilih untuk SUV ini.
Berasaskan Toyota Rush, Aruz merupakan SUV tujuh-tempat duduk dengan binaan ‘body-on-frame’. Ia akan dijanakan oleh enjin yang sama dengan Myvi iaitu 1.5 liter 2NR empat-silinder petrol yang dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 15.6 km per liter, dipadankan bersama transmisi automatik empat-kelajuan.
Ditawarkan dalam dua varian, buat masa ini Aruz ditawarkan dengan harga tentatif bermula dari RM72,200 bagi varian 1.5 X dan RM77,200 bagi varian 1.5 Advance (AV). Harga ini adalah untuk Semenanjung Malaysia, atas jalan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan jaminan kilang selama lima tahun atau 150,000 km.
Source: Read Full Article