Perodua Axia duduki tangga ke-3 jualan kereta terlaris di ASEAN 2018, Toyota Hilux ungguli carta – kajian

Perodua Axia direkodkan sebagai model kereta ketiga yang terlaris di pasaran negara Asia Tenggara pada tahun 2018, hasil kajian Focus2Move. Ia telah terjual sebanyak 89,373 unit, iaitu meningkat sebanyak 33% berbanding tahun sebelumnya.

Menurut firma bebas yang menggumpulkan data jualan bagi 146 buah negara di seluruh dunia bagi semua model, jenama dan segmen ini, rekod jualan yang diperoleh daripada negara-negara ASEAN termasuk Thailand, Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia, Brunei, Laos, Myanmar dan Kemboja menobatkan Toyota Hilux, yang diproduksi di Thailand, sebagai juara carta. Ia mencatatkan jualan sebanyak 152,054 unit iaitu meningkat sebanyak 24.9% berbanding tahun 2017.

Manakala pencabar terdekatnya, Isuzu D-Max, yang juga diproduksi di negara yang sama, mencatatkan rekod jualan sebanyak 134,902 unit (+11.9%). Nampak gayanya dua model terkenal trak pikap ini memang cukup digemari di negara-negara berkenaan sehingga berjaya menduduki dua tangga tertinggi dalam carta jualan kenderaan terlaris di ASEAN tahun lalu.


Di belakang Axia, Toyota Vios menduduki tangga ke-empat dengan jualan sebanyak 82,866 unit, turun sebanyak 11.3% berbanding tahun 2017 dan MPV Toyota Avanza pula di tangga ke-lima, turut mencatatkan penurunan sebanyak 29%, dengan jualan sebanyak 81,188 unit pada tahun lalu.

Model serba baharu, Mitsubishi Xpander, yang kini semakin meledak di pasaran Indonesia, pula menduduki tangga ke-enam dengan jualan sebanyak 77,688 unit. Di tangga ke-tujuh pula menjadi milik Honda City dengan jualan sebanyak 74,862 unit (+2.3%) dan diikuti dengan Toyota Innova (73,750 unit/-11.2%) dan Honda HR-V (71,374 unit/-6.7%). Tempat ke-10 pula diduduki oleh Ford Ranger dengan jualan sejumlah 66,934 unit iaitu meningkat sebanyak 11.1% berbanding tahun sebelumnya.

Source: Read Full Article