Perodua telah memperkenalkan sebuah model istimewa, iaitu Bezza Limited Edition semasa pameran Malaysia Autoshow 2019 yang berlangsung dari hari ini sehingga Ahad di MAEPS, Serdang. Ia hanya dikeluarkan terhad 50 unit, dan cuma boleh ditempah sewaktu acara yang berlangsung selama empat hari ini. Harganya adalah RM44,890 tidak termasuk insurans.
“Perodua Bezza Limited Edition merupakan model yang menggambarkan personaliti pemilik yang lebih unik dan sporty. Dengan aksesori GearUp yang eksklusif untuk model ini, anda akan lebih menonjol dan menyerlah di khalayak ramai semasa memandu sedan kegemaran Malaysia,” kata pengarah urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.
Bezza Limited Edition menggunakan asas daripada Bezza 1.3 Premium X AT. Keseluruhan bahagian badannya menggunakan warna utama Ivory White, dan diserikan dengan kit badan GearUp berwarna hitam matte, jalur merah di kelilng kereta, spoiler belakang hitam matte, bumbung hitam serta rim kelabu gelap.
Penampilan sporty ini kemudiannya diperlengkap dengan lapik cermin sisi warna merah serta grafik geometri atas bonet dan tepi kereta. Masuk pula ke dalam, anda boleh melihat sarung tempat duduk GearUp dengan kemasan jahitan merah, corong pendingin hawa berwarna merah serta karpet GearUp.
Memandangkan ia menggunakan asas daripada model 1.3 Premium X AT, Bezza Limited Edition ini dikuasakan oleh enjin 1NR-VE Dual VVT-i 1,329 cc serta padanan kotak gear automatik empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 95 PS pada 6,000 rpm dan 121 Nm tork pada 4,000 rpm. Kelengkapan lain yang ada padanya termasuk dua beg udara hadapan, brek ABS dengan EBD, pengesan undur, cagak Isofix, sistem kunci pintar dan sistem audio dengan sambungan USB dan Bluetooth.
Source: Read Full Article