Masuk tahun baharu, satu lagi rekod luar biasa direkodkan oleh Perodua – jenama kereta nasional kedua berkenaan berjaya mencatatkan jualan lebih dari 20,100 unit kereta pada bulan Januari 2019, atau 13.6% lebih tinggi dari bulan yang sama tahun lalu (17,700 unit). Dari jumlah tersebut, sebanyak 1,025 unit Perodua Aruz telah didaftarkan dalam masa sehari pada akhir bulan berkenaan.
“Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam proses pendaftaran Aruz, kami berjaya memaksimumkan penyerahan Aruz dalam jangkamasa yang singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr. Zahari Husin.
Menurut beliau lagi, Perodua masih menunggu jumlah rasmi daripada MAA, namun menganggarkan bahagian pasaran syarikatnya itu adalah sebanyak 41.7% pada Januari 2019 dan pertumbuhan sebanyak 9.2% daripada 18,400 unit kenderaan Perodua yang dijual pada Disember 2018.
Dato’ Dr. Zahari turut menambah bahawa SUV MPV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz yang baharu sahaja di lancarkan pada 15 Januari lalu telah mendapat respon yang baik dengan tempahan sebanyak 8,000 unit setakat ini, manakala model-model lain telah didaftarkan dengan lebih daripada 19,000 unit telah didaftarkan pada bulan lalu, dengan Myvi terjual lebih dari 8,400 unit.
Menurutnya lagi, pada masa ini komposisi pesanan bagi Aruz adalah 85% untuk varian Advance dan baki 15% adalah untuk varian X.”Permintaan yang tinggi untuk Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu terutamanya bagi varian AV. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu tersebut,” kata beliau.
Bos Perodua Sales itu turut memberitahu bawah orang ramai tidak perlu risau dengan khabar angin bahawa harga Aruz akan meningkat kerana Perodua mengesahkan bahawa harga atas jalan tanpa insuran model tersebut kekal RM72,900 untuk varian X dan RM77,900 untuk varian Advance.
Source: Read Full Article