Perodua Myvi generasi baharu dilancarkan di S'pura, bermula RM197k-RM212k untuk 1.3 X AT & 1.5 H AT

Setelah berada lebih setahun berada dalam pasaran, Perodua Myvi generasi ketiga kini secara rasmi dilancarkan di seberang tambak, Singapura oleh pengedarnya Perocom Auto Pte Ltd. Hatchback segmen-B tersebut ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.3 X AT dan 1.5 H AT.

Harga? Model asas dijual pada harga SGD64,800 (RM197,093), manakala varian tertinggi berharga SGD69,800 (RM212,301) – kedua-duanya termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta Sijil Kelayakan (COE).

Pelancaran berkenaan telah dihadiri oleh kira-kira 250 orang pelanggan, berlangsung di bilik pameran syarikat berkenaan di Ubi. Perocom telah menjadi pengedar tunggal Perodua di Singapura sejak 1997, dan telah menjual model-model seperti Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama, Viva, Axia dan Bezza.



“Kemasukan Myvi generasi ketiga ke Singapura adalah penting bagi jenama kami walaupun berdepan dengan halangan untuk memasuki pasaran matang ini. Ini juga menandakan destinasi eksport pertama bagi model ini di bawah jenama Perodua,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Perodua Myvi mendapat sambutan yang sangat baik oleh rakyat Malaysia, dan di Singapura turut terdapat sekumpulan peminat setia yang menanti-nantikan ketibaan model generasi ketiga ini,” kata Pengarah Urusan Perocom Auto Pte Ltd En John Ng pula.

Sebelum ini, Myvi generasi baharu ini turut telah dieksport ke Indonesia, namun ia dijual dengan lencana Daihatsu di sana, menggunakan nama Sirion.

Source: Read Full Article