Perodua tingkat kapasiti pengeluaran kepada 249,000 unit, singkatkan masa menunggu terhadap pelanggan

Dalam usaha untuk berhadapan dengan situasi permintaan yang tinggi terhadap model-model Perodua, kapasiti pengeluaran di dua kilang pemasangan syarikat itu – PMSB dan PGMSB – juga kini di pertingkat. Kedua-dua premis berkenaan ketika ini menjalankan dua shift bagi pengeluarannya, dengan kadar “tact time” di PMSB kini 1.8 minit, sementara PGMSB pula 2.0 minit.

Sasaran jumlah pengeluaran bagi tahun 2019 juga dinaikkan kepada 249,000 unit berbanding 242,000 unit yang ditetapkan sebelum ini, dengan kedua-dua kilang berkenaan beroperasi pada tahap optimum 97% dengan situasi pengeluaran yang stabil, serta jumlah kecatatan bagi setiap unit (DPU) yang rendah.

Jika diperhatikan angka sasaran jualan yang ditetapkan pada kadar 235,000 unit untuk 2019 serta sejumlah 3,270 unit pasaran eksport, sasaran jumlah pengeluar berkenaan masih berbaki dengan jumlah yang besar. Mengapa begini? Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad, ia bertujuan untuk meningkatkan tahap stok sedia ada bagi model-model Perodua.

“Sebelum ini, stok kenderaan Perodua yang tersedia adalah rendah. Ini menyebabkan tempoh menunggu untuk pelanggan yang menempah kereta kami menjadi panjang terlalu panjang. Situasi terkini memerlukan mereka menunggu sekitar purata dua bulan. Sebelum ini, lebih lama lagi mereka perlu menunggu.

“Jadi, kami tingkatkan jumlah pengeluaran untuk tahun ini bagi mengatasi masalah berkenaan, dengan harapan tempoh menunggu pelanggan untuk mendapatkan kereta yang ditempah boleh disingkatkan mungkin kepada dua-tiga minggu. Tetapi ini bergantung juga kepada model dan varian yang dibeli pelanggan. Apa pun, matlamatnya adalah untuk memendekkan masa menunggu, dan harapnya boleh dicapai dalam hujung tahun ini juga” jelas beliau.

Source: Read Full Article