Baru-baru ini, Petron Malaysia telah membawa sekumpulan media bagi konvoi eksklusif, Pengembaraan Media Prestasi TriAction Advantage Petron, selama dua hari. Konvoi ini menyelusuri antara laluan mencabar termasuk merentasi kawasan kampung dan membelah lebuhraya dari stesen minyak Petron MRR2 Selayang menuju ke Gambang, Pahang. Menyediakan barisan kereta termasuk Honda CR-V, Perodua Myvi, Audi A6 dan Audi Q3, konvoi kami turut diiringi dua buah motor berkuasa tinggi sebagai marshal bagi memastikan perjalanan bertambah lancar.
Objektif utama penganjuran Pengembaraan Media Prestasi TriAction Advantage Petron adalah bagi membuktikan prestasi formula aditif tercanggih, TriAction Advantage dalam minyak Petron terlaris, Blaze 95. Perjalanan sepanjang 280 kilometer ini memberikan pengalaman kepada kami untuk menikmati pemanduan secara bergilir-gilir dengan rakan media berlainan penerbitan
Daripada Lebuhraya Karak, dan LPT1, ia memberikan pengalaman pemanduan dalam menikmati prestasi bahan api ini. Terasa tidak mengecewakan, malah masih kekal memberikan prestasi yang menguja biarpun melalui pelbagai corak laluan. Tak kiralah sama dalam kelajuan tinggi mahu pun perlahan, merentasi laluan berliku dan berbukit, hinggalah terpaksa memotong kenderaan lain di hadapan, ternyata Blaze 95 sangat bersatu dengan prestasi enjin CR-V yang dipandu penulis.
Persinggahan pertama konvoi berlokasi di Kuala Gandah Elephant Sanctuary dan untuk ke sana, kami merentasi laluan kampung dengan keadaan laluan yang tidak begitu baik. Sekali lagi pemanduan teruji, walau bagaimana pun, ia tidak mendatangkan sebarang masalah biar pun terpaksa lebih berhati-hati dalam pemanduan, kerana prestasi Blaze 95 memang cukup membantu.
Kemudian perjalanan diteruskan ke daerah Temerloh untuk menikmati hidangan makan tengahari. Tak sah kalau tak pekena ikan patin masak tempoyak yang cukup sinonim dengan daerah ini. Bandar Temerloh boleh tahan juga banyak persimpangan lampu isyarat yang terpaksa dilalui. Selagi lagi menguji kecekapan Blaze 95, adakah ia mampu memberikan kerjasama baik dengan enjin CR-V? Jawapannya ya, tidak mengecewakan, dari kenderaan terhenti di persimpangan lampu isyarat dan mahu meneruskan kembali perjalanan, memang tidak mendatangkan masalah.
Selepas sejam rehat, konvoi meneruskan perjalanan menuju ke stesen minyak Petron KM3.5 Mile Jalan Gambang untuk misi kedua yang tidak kurang pentingnya. Selain pihak media dan orang kuat Petron sendiri, konvoi ini turut disertai oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Pembangunan Automotif (ADC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, yang diketuai oleh pengarahnya, Assoc Prof Dr.Mohd Farid Muhamad Said.
Tujuan kumpulan penyelidik dari UTM mengikuti konvoi ini untuk menentukan ukuran penggunaan bahan api yang digunakan bagi setiap kereta yang dipandu oleh pihak media. Sekaligus memberikan gambaran yang lebih tepat tentang hasil gabungan prestasi Blaze 95 dengan kereta tersebut. Selain kereta perlu ditimbang terlebih dahulu, penentuan penggunaan bahan api tersebut bukan sekadar melihat pada tolok bahan api (fuel gauge) yang tersedia ada di dalam kereta, tetapi menggunakan peralatan khas yang lebih teknikal.
Menurut Dr.Farid, dalam sesi ini, penggunaan bahan api ditentukan dengan tiga kaedah iaitu kaedah timbangan kereta, tangki minyak dan kluster meter/ECU. Kalau mengikut kaedah timbangan kereta, CR-V yang kami pandu mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 16.2 km/l. Dan jika mengikut tangki minyak pula, kami menggunakan sekitar 21.4 liter untuk perjalanan dari Selayang ke Gambang sepanjang 280 kilometer itu.
Katanya lagi, penggunaan bahan api bagi sesebuah kenderaan juga berdasarkan banyak faktor, termasuklah cara pemanduan, muatan, keadaan kenderaan itu sendiri dan juga pemilihan minyak enjin.
Selesai sesi pemanduan ini, kami diberikan taklimat yang lebih terperinci mengenai produk Petron iaitu BLaze 100 Euro 4M Petron, 97 Euro 4M Petron, Blaze 95 Petron dan formulasi TriAction Advantage oleh Chew Choy selaku penasihat khidmat teknikal kanan di Petron. Katanya, “Formula TriAction Advantage menawarkan kuasa yang lebih baik, lebik kilometer dan perlindungan enjin terbaik kerana ia merupakan gabungan dari detergen, pengubah geseran dan penambahan aditif pembakaran organik dalam bahan api.”
Menurutnya lagi, detergen yang terdapat dalam TriAction Advantage ini memastikan sistem inlet enjin bersih dan beroperasi dengan kecekapan maksimum. Kenderaan akan mengalami penggunaan tenaga dan bahan api yang lebih baik dengan pengubah geseran TriAction Advantage yang membantu mengurangkan antara dinding piston dan silinder.
Malah TriAction Advantage juga mengandungi penambahan pembakaran organik, sebatian organik bebas dan tidak berabu untuk melancarkan pembakaran bahan api. Ia menghasilkan tindak balas pemangkin, yang memecah rantaian molekul panjang, membolehkan lebih banyak oksigen bergabung dengan molekul karbon, sehingga menghasilkan bahan bakar untuk dibakar sepenuhnya, memberikan lebih kilometer yang lebih baik dan pelepasan kurang berbahaya.
Source: Read Full Article