Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) bersama Petronas Lubricants International (PLI) hari ini melancarkan pusat servis sehenti Petronas AutoExpert yang pertama bukan hanya di Malaysia, malahan di dunia. Dengan matlamat untuk memberikan pengalaman dan nilai tambahan baru berkaitan servis kenderaan yang lebih menyenangkan, program ini melibatkan usahasama antara Petronas dan juga rakan niaga tempatan yang dipilih, Autohaus KL yang bertindak sebagai pengendali.
Menurut Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas, Dato’ Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; “Melalui Petronas AutoExpert ini, kami ingin menawarkan kualiti servis dan kepakaran teknikal yang dimiliki terus kepada pelanggan. Turut menjadi nilai tambah, pelanggan kini dapat menikmati pengalaman servis kenderaan jauh lebih lancar dan memudahkan untuk urusan penyelenggaraan mereka.”
Ini merupakan premis pertama seumpamanya bagi Petronas di Malaysia. Lebih penting, rangkaiannya akan diperluas bukan hanya setakat untuk pasaran tempatan. Bagi tempoh beberapa tahun ke hadapan, Petronas mensasarkan untuk membuka 100 lagi premis seperti ini, yang turut merangkumi pasaran di China, India dan Amerika Latin.
Bagi Petronas AutoExpert sulung di Autohaus KL ini, ia melibatkan keluasan premis dua tingkat dengan keluasan keseluruhan sekitar 12,000 kaki persegi. Ia mempunyai 14 ruangan servis semuanya, dengan kapasiti servis yang mampu dilakukan ialah 40 buah kenderaan sehari. Dan, ia terbuka kepada semua jenis dan jenama kereta, sama ada keluaran tempatan mahupun luar negara.
Melalui program ini, Petronas menyediakan sokongan kepakaran serta capaian dari sudut sistem dan kelengkapan termaju (termasuk pelincir seperti Synthium) dalam usaha untuk memberikan servis terbaik dan cekap kepada pelanggan. Sokongan kepada rakan niaga ini termasuk dari segi latihan, sokongan pemasaran, program dagangan serta rundingan bagi pembangunan perniagaan kepada bengkel persendirian yang menjadi rakan niaganya yang terlibat.
Pengarah Autohaus KL, Muhammad Eezam Masripan pula ingin memanfaat peluang yang diberikan oleh Petronas ini untuk menyediakan perkhidmatan yang jauh lebih cekap kepada pelanggan. Selain kepakaran, kemudahan seperti perkhidmatan pengambil dan mengantar kereta pelanggan yang berada dalam radius 5 km dari pusat servisnya juga disediakan.
Source: Read Full Article