Jika anda masih tidak lagi faham apa itu hydroplanning, mari sini saya terangkan. Ia adalah masalah di mana tayar kereta kita terapung dan tidak menyentuh permukaan jalan apabila anda melanggar lopak air – sama ada lopak tersebut terlalu dalam atau kita melanggarnya dengan kelajuan yang terlalu tinggi.
Risiko untuk berlakunya hydroplanning ini boleh menjadi lebih tinggi sekiranya kereta berkenaan dibina atau diubahsuai untuk mendapatkan cengkaman terbaik ketika kering, misalnya dengan casis yang lebih ringan dan juga diberikan tayar yang sangat lebar serta kurang bunga bagi ‘memotong’ air. Apabila ini terjadi tentulah anda tidak dapat mengawal langsung kereta anda, dan risiko untuk terlibat dalam kemalangan menjadi semakin tinggi.
Oleh itu, Porsche telah menghasilkan satu sistem bagi membolehkan risiko hydroplanning ini untuk terjadi pada 911 generasi baharu. Komponen utama yang digunakan pada sistem berkenaan adalah dua buah mikrofon yang diletakkan pada ruang roda tayar hadapan. Bagaimana mikrofon tersebut boleh menyelamatkan keadaan?
Sebenarnya mikrofon berkenaan bertindak sebagai penderia (sensor) untuk sistem ini. Mikrofon tersebut akan mengambil input dari bunyi air yang dilanggar oleh kereta, dan dengan frekuensi yang dihasilkan, kotak komputer mampu mengagak kedalaman lopak air berkenaan. Bersama input-input lain misalnya kelajuan kereta, sistem ini akan membuat analisa sama ada “Wet Mode” boleh diaktifkan secara automatik atau tidak.
Sekiranya sistem mengaktifkan “Wet Mode” ini, respon pendikit akan menjadi lebih lembut, gear akan dikekalkan pada kedudukan tinggi, LSD akan berada dalam kedudukan ‘lock-up’, tork enjin akan dikurangkan, serta kawalan kestabilan dan juga sistem brek ABS akan menjadi lebih sensitif. Sistem pacuan semua roda pula akan menghantar lebih tork ke roda hadapan, sementara spoiler belakang akan dinaikkan bagi meningkatkan downforce untuk gandar belakang – ini semua bagi membolehkan pemandu lebih mudah untuk mengawal kereta tersebut ketika keadaan basah.
Sistem ini direka bagi menghindarkan berlakunya kemalangan di atas jalan raya awam. Untuk pemanduan dilitar, pemandu masih lagi boleh mematikan “Wet Mode” berkenaan dan juga kawalan kestabilan eletronik bagi mengelakkan ia ‘campur tangan’ ketika anda mahu melakukakan serangan maksima.
Source: Read Full Article