Antara kegusaran untuk memiliki kereta elektrik sudah tentu ramai yang ragu-ragu berkenaan jarak perjalanan – untuk mengecas semula bateri kereta tersebut tidak sesingkat tempoh untuk memenuhkan semula tangki petrol. Namun bagi membuktikan masalah ini bakal berakhir pada masa hadapan, Porsche melakukan ujian perjalanan jauh untuk kereta sport elektrik terbaharunya yang akan membuat kemunculun sulung pada 4 September ini iaitu Porsche Tycan.
Ujian ini dijalankan di litar berkelajuan tinggi, Nardo di Itali. Seramai enam pemandu uji menyertainya, dengan jarak 3,425 kilometer dihabiskan dalam masa 24-jam. Ia tidak dijalankan seperti makan angin, sebaliknya Porsche Taycan berkenaan dipandu pada kelajuan antara 195 km/j hingga 215 km/j!
Sudah tentu dengan gaya pemanduan sedemikian akan mempercepatkan kehabisan kuasa dalam bateri. Namun ujian ini tetap berjalan lancar dengan sistem elektrikal 800-volt Porsche, bersama stesen pengecas 800-volt yang dibina oleh Porsche Engineering Group. Porsche Taycan merupakan kereta produksi pertama yang menerima teknologi ini, yang turut membantu kereta lumba 919 Hybrid berkuasa 900 hp memenangi perlumbaan Le Mans 24-Jam tiga kali berturut-turut.
Selain itu, ujian ini turut dibuat sebagai salah satu ujian terhadap kualiti ketahanan dan juga dalam suhu tinggi. Menurut Porsche, sistem 800-volt ini membolehkan prestasi tinggi disalurkan secara konsisten, dalam masa yang sama dapat memendekkan tempoh mengecas semula serta mengurangkan berat serta ruang untuk sistem pendawaian.
Ia juga menampilkan pengurusan suhu yang begitu sofistikated menerusi jaringan berberapa komputer terkini yang dapat mengendalikan suhu serta menyejukkan komponen-komponen bervoltan tinggi.
Selepas berhenti untuk menukar pemandu dan mengecas semula bateri, Taycan ini akan memecut semula dari 0-200 km/j dalam masa sekitar 10 saat – ia berulang sebanyak 26 kali dalam ujian ini dengan beza antara yang paling cepat dan paling perlahan adalah 0.8 saat. Sistem 800-volt ini juga dapat mengelakkan dari terjadinya kehilangan tenaga kerana menghasilkan haba yang terlalu tinggi dan memastikan suhu paling optimum untuk mendapatkan proses mengecas paling berkesan setiap kali ia tiba di stesen pengecas.
“Taycan telah mengusai ujian ketahanan ini tanpa sebarang masalah. Keputusan yang dicapai di Nardo menyerlahkan kelebihan teknologi 800-volt yang unik ini dan tahap kematangannya. Sebelum Taycan dilancarkan ke pasaran akhir tahun ini, kami akan lengkapkan ujian sejauh enam juta kilometer di seluruh dunia,” kata naib presiden barisan produk Taycan, Stefan Weckbach.
Source: Read Full Article