Prasarana laksana penambahan kekerapan tren laluan LRT Kelana Jaya antara Gombak-Ara Damansara

Bagi menampung permintaan tinggi di antara waktu puncak, mulai 2 Januari lalu, Kumpulan Prasarana menambah kekerapan tren di laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya antara stesen Gombak dan Ara Damansara.

Menurut CEO Rapid Rail, Khairani Mohamed, penambahan kekerapan tren berkenaan akan dilakukan bermula pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi setiap Isnin hingga Jumaat, laporan Bernama.

Penambahan kekerapan akan dilakukan melalui sistem ‘two loops’ di mana setiap tren ketiga daripada stesen Gombak tidak akan meneruskan perjalanan sehingga ke Putra Heights, sebaliknya akan melakukan pusingan kembali ke stesen Gombak dari Ara Damansara. Sekali gus membuatkan masa menunggu penumpang akan dapat dikurangkan kerana mereka boleh menaiki tren seterusnya dalam tempoh 90 saat bagi tren ketiga berbanding 180 saat dalam keadaan biasa.

“Sistem berkenaan diperkenalkan kerana laluan LRT Kelana Jaya adalah laluan yang paling sibuk di Lembah Klang dengan 290,000 penumpang setiap hari selain kerana berlaku kepadatan yang tinggi di stesen seperti Kelana Jaya, Universiti, Gombak dan Ara Damansara.

“Ia juga dilakukan kerana laluan Kelana Jaya menunjukkan peningkatan jumlah penumpang yang konsisten sejak beberapa tahun lalu iaitu 4.5 peratus setiap tahun dan pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 bagi pemegang MyKad mulai 1 Januari lalu dijangka menyebabkan pertambahan jumlah penumpang,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sebanyak tujuh tren daripada keseluruhan 58 tren yang beroperasi bagi lalulan LRT Kelana Jaya akan terbabit dalam pelaksanaan sistem ini. Walau bagaimana pun, pengenalan sistem itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan bagi penumpang dari stesen Ara Damansara ke Putra Heights kerana daripada tinjauan pihaknya hanya kira-kira 50 penumpang menggunakan perkhidmatan itu ketika waktu puncak.

Laluan pengangkutan awam rel lain kendalian Kumpulan Prasarana ialah LRT laluan Ampang dengan 190,000 penumpang harian, Transit Aliran Massa (MRT) (160,000 penumpang) dan Monorail dengan (36,000 penumpang).

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article