Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

Tempoh enam bulan pertama 2019 telah pun berlalu. Dan seperti biasa, adalah menarik untuk menilai prestasi industri automotif bagi tempoh berkenaan. Laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi bulan Jun 2019 yang telah dikeluarkan menjadi “pelengkap” bagi data untuk tempoh separuh pertama ini.

Keseluruhannya, jumlah keseluruhan industri (TIV) telah meningkat kepada 296,334 unit, naik 2.29% daripada 289,714 unit yang dijual pada 2018. Ini sesuatu yang menggalakkan, memandangkan MAA mensasarkan untuk mencapai angka 600,000 unit bagi tempoh penuh setahun – walaupun suasana pasaran untuk separuh kedua juga masih samar-samar, terutamanya tempoh tiga bulan “cuti cukai” seperti tahun lalu.

Mari kita lihat pecahan ikut jenama pula. Perodua terus berada di atas, dengan peningkatan 4% dari 117,098 unit kepada 121,782 unit, kemungkinan didorong oleh jualan SUV Aruz. Syarikat ini juga mencatatkan pegangan pasaran sebanyak 41.1%; naik sedikit daripada angka 40.4% pada 2018. Berbeza pula dengan Honda; angkanya menurun sehingga 13.81%, dari 51,354 unit ke 44,260 unit. Pegangan pasarannya juga berkurangan, dari 17.7% kepada 14.9%.

Proton pula sedang menikmati perkembangan yang sangat positif; jumlah jualannya mencatatkan peningkatan tinggi sehingga 60.55%, dari 27,106 ke 43,518 unit bagi tempoh sama dengan tahun lalu. Ini membolehkan mereka memintas Toyota, dan menghampiri Honda yang berada dikedudukan kedua dengan perbezaan hanya 742 unit. Pegangan pasarannya juga meningkat dari 9.4% ke 14.7%.

Toyota pula tidak banyak berubah, pengurangan hanya sebanyak 458 unit atau 1.44% dengan catatan 31,251 unit terjual. Ini menjadikan pegangan pasarannya sedikit menurun, dari 10.9% ke 10.5% ketika ini. Nissan juga mengikut jejak yang sama; jualan turun sebanyak 12.94% kepada 10,383 unit, dengan pegangan pasaran juga menguncup dari 4.1% ke 3.5%.

Bagi segmen premium, Mercedes-Benz terus mengatasi BMW, tetapi tidak terlalu jauh – hanya 614 unit yang menjadi pemisah. Mercedes-Benz mencatatkan angka 5,649 unit, manakala BMW 5,035 unit. Bagaimanapun, kedua-dua jenama berkenaan menjual kurang kenderaan tahun ini. Cuma, Mercedes-Benz mencatatkan pengurangan yang lebih banyak, iaitu 18.72%. Pegangan pasaran masing-masing ialah 1.9% dan 1.7%.

Sebaliknya, jenama lain yang mencatatkan pertumbuhan positif ialah seperti Volvo (+60.56% jualan), Renault (+41.59%) dan MINI (+4.36%). Tetapi lain ceritanya dengan Subaru (-42.41%), Lexus (-36%) dan Hyundai (-31.57%). Untuk perincian lanjut berkenaan prestasi separuh pertama 2019 dan perbezaannya dengan 2018 bagi setiap jenama, sila rujuk jadual di bawah.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article