Pemasangan kenderaan plug-in hybrid BMW di Thailand bakal menerima bateri PHEV daripada sumber tempatan tidak lama lagi. Pembekal jenama kenderaan premium berkenaan, Draexlmaier, bakal memulakan produksi bateri bervoltan tinggi pada Julai ini di kilang di Rayong yang hanya 14 km jaraknya dari kilang BMW di Kawasan Perindustrian Amata City, menurut laporan Bangkok Post.
Draexlmaier telah berjaya mendapat keistimewaan Lembaga Pelaburan Thailan (BoI) pada November 2018 dengan permohonan pelaburan berjumlah 540 juta baht termasuk pembelian tanah. Menurut presiden BMW Group Thailand Christian Wiedman, kilang DTS Draexlmaier Automotive System akan menjalankan dua proses akhir produksi bateri lithium-ion – produksi untuk modul dan pemasangan paket.
“Kilang ini akan menjalankan dua proses di bawah satu bumbung sementara fasiliti tempatan lain akan membuat proses terakhir, membungkus semua modul bateri sebelum dilengkapi pada bateri plug-in hybrid dan EV,” ujarnya, sambil menambah dua proses pertama yang melibatkan produksi sel dan komponen tidak boleh dilakukan secara tempatan.
Wiedmann berkta bateri yang telah siap sempurna akan menjanakan model 530e G30 dan sedan plug-in hybrid 740Le LCI G12 facelift mulai 2019. Jualan PHEV BMW di Thailand dilihat semakin utuh dan berkembang – tahun lalu, jualan bagi plug-in hybrid meningkat 122% di negara berkenaan, mewakili 24% bagi jualan keseluruhan jenama itu.
BMW Thailand juga menyediakan stesen pengecasan di sana di bawah jenama ChargeNow. Buat masa ini, terdapat 121 pengecas di seluruh negara, dan akan mencapai 150 unit menjelang hujung tahun ini.
Source: Read Full Article