Selepas SUV segmen-C Proton X70 dilancarkan hujung tahun lalu, nampaknya Proton kini sedang mengemaskini rupa dan ciri untuk model-model sedia ada iaitu Iriz, Persona dan Saga dalam versi facelift. Tidak mustahil, MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora turut akan menuruti jejak langkah tiga model tadi.
Exora sudah pun berada hampir sepuluh tahun, adakah ia masih relevan disegarkan kembali untuk tahun 2020? Ya atau tidak, jangan lupa bahawa Perodua Alza juga menerima penyegaran sama tahun lalu, dan ia juga sebuah model yang diperkenalkan pada tahun 2009. Begitu juga pada peringkat antarabangsa, di mana Mitsubishi telah mendedahkan ASX facelift, yang diasaskan dari model yang muncul buat pertama kali pada 2010 itu.
Imej bayangan Proton Exora facelift ini dihasilkan oleh pakar manipulasi digital automotif, Theophilus Chin. Dan beliau telah menterjemahkan bayangan berkenaan – bagaimana rupa Exora sekiranya masih bertahan dalam pasaran dengan pengaruh rupa terkini Proton, dan bukan dengan pengaruh rekaan Perdana pada versi render sebelum ini.
Walaupun hanya ‘facelift‘, Theo menghasilkan Exora yang menampilkan banyak perubahan tetapi masih mengekalkan jarak roda, tiang-tiang, tingkap-tingkap dan juga cermin hadapan dan belakang. Jadi, walaupun menerima rombakan rupa, anda masih boleh mengenali model ini sebagai Exora berdasarkan bentuk badannya.
Lampu asal ditukar dengan lampu yang lebih tirus, manakala grilnya pula direka dengan elemen ‘inifinite weave‘ dan juga busur panah seperti X70. Bampar baharu yang lebih moden turut diberikan bagi melengkapkan muka Exora baharu ini. Theo telah mereka semula garis bawah sisi MPV ini, yang seakan ‘bilah sisi’ pada Iriz dan Persona.
Di belakang pula, lampu menegak masih lagi kekal, tetapi ia disegarkan dengan kemasan bar bawah cermin belakang dengan perkataan ‘PROTON’, serta bampar dengan rekaan diffuser baharu yang turut menempatkan lampu kabus tunggal di tengah.
Kenapa kami rasa Exora facelift ini relevan walhal Proton telah sah bakal membangunkan MPV tujuh-tempat duduk berdasarkan Geely Jiaji? Pertama, model berkenaan hanya akan muncul pada lewat 2020 atau 2021 bagi memberikan laluan kepada SUV segmen-B berasaskan Geely Binyue yang telah pun kelihatan sedang diuji.
Kedua, berdasarkan saiz, MPV baharu berkenaan mungkin akan dijual pada harga melebihi RM100k, dan Proton masih memerlukan model MPV tujuh-tempat duduk bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan bajet bawah RM100k. Apa pun, ini semua hanyalah spekulasi dan kami tahu bahawa Proton kini memang sedang menyegarkan kembali Exora. Jadi sekiranya rupa model tersebut hampir dengan imej bayangan ini, apa pula pendapat anda?
Source: Read Full Article