Pagi ini, Proton telah mempertontonkan secara eksklusif model hatchback Iriz 2019 yang hadir dengan banyak pembaharuan dan perubahan. Iriz 2019 telah ditampilkan dengan gaya yang lebih sporty dengan suntikan rekaan yang lebih segar, penuh bergaya dan sofistikated. Ia ditawarkan dengan lima varian; Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT.
Kehadiran bampar dan gril baharu yang diilhamkan dari rekaan SUV X70 dengan menjadikan busur panah sebagai sumber inspirasi, melahirkan karakter yang lebih ranggi dan teguh. Ia dipadankan dengan lampu utama yang lebih langsing bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED baharu yang menyerlahkan lagi wajahnya.
Pada pandangan sisinya, garisan penuh berkarakter untuk memberikan kesan terhadap aerodinamik dan pandangan mata tertancap pada rekaan roda aloi pelbagai-jejari yang diinspirasikan dari rotor blade bersaiz 14-inci untuk model asas Standard 1.3L MT dan 15-inci bagi empat model atasnya.
Melewati bahagian belakangnya pula, perkataan ‘Proton’ dalam rekaan 3D cukup menarik pandangan. Selain itu, lampu belakang dengan grafik baharu yang menurut Proton memberikan rupa yang lebih lebar pada kereta ini. Bukan itu sahaja, bampar belakang turut ditukar, kali ini menampilkan bahagian kelihatan seperti diffuser yang lebih menyerlah, bersama sepasang liang udara menegak pada kedua-dua sisi. Kecuali model asas, semua varian turut dilengkapi dengan spoiler dan antena sirip jerung baharu.
Menjengah bahagian kabinnya pula, ambien yang lebih gelap menampilkan sisi yang lebih sporty. Beberapa elemen baharu telah ditampilkan, ini termasuklah paparan pelbagai-info LCD, tombol gear (untuk varian MT) dan pastinya tiga varian tettinggi lebih menarik dengan kehadiran paparan sesentuh tujuh-inci, paparan pelbagai-info TFT, kamera pandang belakang dengan Dynamic Line, dan ketersambungan telefon pintar.
Manakala ciri tambahan baharu untuk varian tertinggi didatangkan dengan Online Navigation, cermin pandang belakang tanpa bingkai, tombol gear, sambungan 4G & Wifi dan Arahan Suara seperti yang ditampilkan buat pertama kalinya pada SUV X70. Malah Iriz merupakan model hatchback segmen-B pertama yang ditampilkan dengan fungsi Arahan Suara ini.
Ciri-ciri lain yang masih dikekalkan termasuklah dua port pengecas USB, ECO Drive Assist, dan untuk tiga varian tertinggi tetap dipadankan dengan butang penghidup enjin (kunci manual untuk model asas Standard 1.3L MT & Standard 1.3L CVT), roda stereng balutan kulit dan tempat duduk separa kulit untuk varian tertinggi.
Untuk bahagian mekanikalnya pula, Iriz masih kekal dengan dua pilihan enjin iaitu 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp/150 Nm dan juga 1.3 liter VVT berkuasa 94 hp/120 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, dan lima-kelajuan manual hanya untuk model 1.3 liter.
Walau pun tiada perubahan untuk enjin dan transmisi, untuk Iriz 2019 ini, Proton mendakwa telah menambah baik prestasi brek, NVH Rating, dan juga lebih menjimatkan bahan api. Bukan itu sahaja, kualitinya telah dipertingkatkan berdasarkan standard penilaian yang dikenali sebagai GCPA Rating, yang ditetapkan oleh Geely.
Aspek keselamatan juga tiada perubahan, masih kekal dengan dua beg udara (enam beg udara untuk varian tertinggi), ABS dan EBD, Kawalan Kestabilan dan cagak Isofix.
Buat masa ini, Proton masih belum memaklumkan tentang harga dan bilakah Iriz 2019 ini akan dilancarkan di pasaran. Namun, Proton telah mengumumkan tempahan secara dalam talian bakal dibuka bermula 1-11 Mac ini. Paling menarik, hanya dengan RM9.90, anda sudah boleh menempah Iriz 2019 ini.
Source: Read Full Article