Apa lagi la yang pakar render, Theophilus Chin, ni buat? Serba kreatif sungguh dalam menghasilkan lakaran imaginasi untuk model-model kenderaan konsep. Kali ini, terhasilnya lakaran imaginasi bagi Proton Iriz S1000 Concept, edisi istimewa bagi meraikan kejayaan perlumbaan Sepang 1,000 km.
Lihat satu persatu imej yang dihasilkan, memang mengagumkan. Lakaran yang berasaskan model Iriz 2019, namun Theo telah membuat beberapa ‘pembedahan kosmetik’ untuk membuatkan model konsep terbabit lebih sporty dan menyerlah berbanding model standard. Nama pun ‘edisi istimewa’, dah pasti ia kena nampak kelainan dan keunikannya.
Theo memulakan olahan bahagian wajah hadapan Iriz dengan gril “busur panah” dengan sayap krom untuk gril yang lebih konvensional, bersama kemasan “Infinite Weave” yang lebih menyerlah. Kemasan krom pada lampu dan gril juga telah ditukar kepada hitam pekat bagi memberikan aura yang lebih sporty.
Bampar bawah dari Iriz standard (yang tidak sama dengan Persona 2019) ditampilkan, tetapi jaluran lampu nyalaan siang LED disingkirkan. Selain gril, elemen lain masih dikekalkan. Splitter hadapan dengan rekaan yang agak unik turut menyerlah imejnya, dengan “horns” menegak yang disambung pada corong pengambilan udara sisi.
Kemasan karbon dan corong merah kecil di kedua-dua belah turut ditampilkan, juga pada skirt sisi. Kaliper brek juga dipadankan dengan warna merah.
Untuk bahagian profil, Theo menambah fender hadapan yang lebih lebar, dan dua corong – satunya di sayap hadapan yang berhubung ke bonet (berdasarkan A-pillar), dan satu lagi pada jaluran menegak yang agak panjang (terletak antara pintu hadapan), macam lebih kurang sama dengan elemen pada Honda Civic Type R FK8 pula. Iriz S1000 juga menampilkan aloi pelbagai-jejari besar dengan kemasan hitam. Begitu juga dengan perumah cermin sisi yang juga ditampilkan dengan rona hitam.
Manakala bahagian belakangnya pula memang menampakkan sisi yang agresif dan menyerlah, hasil sambungan baharu berwarna hitam di antara lampu menegak dengan label perkataan Proton. Kalau hatchback ini didatangkan dengan sayap belakang sedia ada, tapi untuk lakaran imaginasiini, Theo mengolahnya lebih besar supaya mirip dengan jentera lumba. Bukan itu sahaja, “two-tier wing’ dengan lampu brek ketiga ‘gaya-F1’ turut ditampilkan.
Kalau tengok ‘sayap’ yang cukup menonjol pada Iriz S1000 Concept ini tidak begitu menguja, perhatikan pula bampar belakangnya yang menampilkan rekaan seperti gaya ‘terowong angin’ Lamborghini.
Diffuser pula kelihatan macam banyak potongan karbon di antaranya, tambah menyerlah dengan dua corong ekzos dengan kemasan hitam untuk menyuaipadankannya dengan bahagian bawah badan hatchback ini yang gelap.
Tidak lengkap gaya jentera lumba jadi beberapa elemen yang setara dengannya ditampilkan, termasuklah kemasan perkataan “S1000” yang terukir di sayap hadapan, seperti yang boleh anda lihat menerusi kereta biru dan hijau di atas ini. Model berwarna hijau ini juga didatangkan dengan kemasan kit badan berwarna kuning bagi menggantikan sentuhan tona merah dan juga pelekat tambahan dari warna kuning yang sama (atau mungkin keemasan?) pada bonet, sisi bawah dan juga belakangnya.
Proton turut memperkenalkan lencana Iriz baharu pada model facelift dengan menonjolkan abjad “R” – jadi model S1000 Concept ini telah memilih merah untuk diwarnakan pada “R” untuk ciri yang lebih menonjol (bukan hanya pada gril hadapan) dan juga kelengkapan lumba sepenuhnya.
Pakar render ini juga membayangkan Iriz S1000 Concept turut menerima peningkatan prestasi, sama ada dengan unit Geely 1.5 liter turbo (174 hp/255 Nm) bersama kombinasi auto dwi-klac (seperti pada Geely Binyue a.k.a Proton X50 akan datang), atau penjana kuasa Proton sendiri dengan unit 1.3 liter turbo (140 hp/190 Nm) bersama kotak gear manual enam-kelajuan, seperti yang ditampilkan pada model prototaip pada tahun 2015. Iriz 2019 asalnya dipadankan dengan enjin 1.6L NA (109 PS/150 Nm) yang digabungkan dengan janaan kuasa CVT.
Cuba bayangkan kalau model konsep ini dijelmakan sebagai realiti? Agak-agak cukup WOW tak?
Source: Read Full Article