Proton Saga 2019 rasanya menarik perhatian ramai orang disebabkan harga rendah serta nilai penawaran berbaloi yang diberikan. Penampilannya kini juga lebih menarik dan sporty, walaupun hanya merupakan model ‘entry level’ dari segmen A dari Proton. Tetapi, pembaharuan yang dilakukan ini rasanya sangat kena dengan sejarah panjang penuh makna model berkenaan yang menjadi model pertama Proton sejak 1985 lagi.
Tetapi, kalau Proton Saga 2019 sudah cukup menawan, apa lagi yang boleh dilakukan untuk menjadikannya lebih memukau? Bagaimana jika kereta sedan kompak ini hadir dengan penampilan yang lebih agresif? Inilah perkara yang sama dibayangkan oleh Theophilus Chin, ketika membayangkan Proton Saga R3 Concept ini – lebih ranggi dan garang dengan imej sayap perlumbaan Proton.
Antara yang dilakukan ialah menjadikan bahagian grilnya lebih ringkas dan kosong, tetapi dihiasi dengan lambang R3 kecil. Rekaan gril ini sebenarnya pernah digunakan oleh beliau ketika menampilkan rekaan bagi Saga homagE sebelum ini, sebuah Saga moden janaan elektrik yang dibayangkan.
Selain itu, jalur krom di bawah gril pula diubah menggunakan warna merah pada rekaan R3 ini, sementara lampu utama diberikan kesan smoked yang sedikit lebih gelap. Bahagian bampar pula diberi rekaan baru, dengan ruang udara tunggal yang besar. ‘Pagar’ honeycomb dihiasi warna hitam, mirip rekaan yang pernah dilihat pada model Mercedes-AMG C63. Muncung bawahnya juga lebih jelas dan garang berbanding Saga versi standard.
Proton Saga R3 Concept ini pula nampak lebih tegap kedudukannya. Ini disebabkan penggunaan rim 16-inci yang ada, lebih besar seinci berbanding saiz standard Pada Saga 2019 Premium. Tambahan pula, ia menggunakan tayar dengan profil yang lebih nipis; ia juga lebih rendah, dengan penggunaan suspensi sport R3. Perhatikan lebih teliti, lengkung tayar juga sedikit lebih luas untuk dipadankan dengan bukaan kit sisi badan dengan kemasan warna hitam.
Ini diperkemaskan lagi dengan penggunaan kaliper brek berwarna merah. Penggunaan kemasan warna gelap ini bolehlah kita bayangkan sebagai aksesori “Night Package” yang selalu disediakan oleh kebanyakan pengeluar.
Bahagian dalamannya turut disertakan dengan perincian warna merah, untuk menggambarkan semangat prestasi dan perlumbaan. Misalnya, pada bahagian tali pinggang keselamatan, bingkai pendingin hawa, jalur pada stereng, tapak tombol gear, kemasan bebenang merah pada papan pemuka dan juga bahagian bawah corong pendingan hawa.
Bagi kerusi pula, ia ada mirip tempat duduk Iriz, tetapi dihadirkan dalam jalur dan benang warna merah. Dan, jika diperhatikan betul-betul tombol gearnya, Saga R3 Concept ini dibayang untuk dilengkapi dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Kalau ini menjadi kenyataan, mesti ramai yang tak senang duduk. Apa pandangan anda tentang rekaan ini? Teringin nak tengok Proton Saga R3 Concept jadi kenyataan?
Source: Read Full Article