Kehadiran SUV pertama dari Proton, X70, yang dilancarkan pada 12 Disember lalu, dilihat mampu membantu melonjakkan lagi jualan kenderaan sebelum 2018 melabuhkan tirainya lebih kurang dua minggu lagi. Malah angka jualan bagi setakat ini lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Dikhabarkan, CEO Proton, Dr Li Chunrong berkata, tempahan bagi X70 telah pun mencecah lebih 10,000 unit sejak ia dibuka pada 17 Oktober lalu.
Menurut presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad, jualan kenderaan harus mencapai sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 585,000 unit menjelang akhir tahun. Di mana dari Januari hingga Oktober telah mencapai 6% lebih tinggi pada 502,244 unit, berbanding 427,719 unit pada tempoh yang sama tahun lalu, menurut laporan The Star.
Tambahnya lagi, walau pun jumlah jualan menyusut sebanyak 23% pada bulan September selepas berakhirnya ‘cuti cukai GST’, namun pada Oktober, jumlahnya meningkat sebanyak 5.1%.
“Kami tidak menjangkakan ia berlaku pada Oktober, tetapi ia jumlah yang memberangsangkan dan pada November pula, angkanya juga menunjukkan prestasi yang lebih baik,” ujar Aishah.
Sepanjang ‘cuti cukai GST’ mulai 1 Jun hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 198,518 unit jualan kenderaan telah dicatatkan.
MAA turut berkata jumlah jualan sebanyak 68,465 unit pada Julai laly merupakan pencapaian TIV bulanan kedua tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah industri automotif tempatan. Pencapaian TIV bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan dalam industri ialah 69,371 unit pada Disember 2015.
Source: Read Full Article