Proton X70 sah akan dilancarkan 12 Disember ini

Ketika prebiu (sekali lagi) SUV Proton X70 di KLIMS 2018 hari ini, Proton mengesahkan bahawa SUV pertama mereka itu sah akan dilancarkan pada 12 Disember ini. Namun, satu lagi maklumat penting, iaitu harganya pula masih lagi dirahsiakan dan bakal diumumkan pada majlis pelancaran tersebut nanti.

Seperti yang selalu kami laporkan sebelum ini, X70 akan ditawarkan dalam empat varian untuk pasaran Malaysia.

Namun untuk permulaan, SUV ini hanya akan ditawarkan dengan enjin 1.8L TGDi (Turbo Gasoline Direct Injection) yang mampu menjana 181 hp dan tork maksima 285 Nm bermula 1,700 rpm hingga 4,400 rpm. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dicapai dalam masa 10.5 saat.

Dua sistem pacuan yang adakan ditawarkan; 2WD (tiga varian) dan AWD (satu varian). Penggunaan minyak bagi model 2WD disifatkan mampu memberikan 7.8 liter bagi setiap 100 km, manakala penggunaan minyak bagi model AWD masih beluh dimaklumkan.

Teknologi multimedia juga menjadi antara faktor penarik SUV ini – dilengkapi dengan pengantar keseluruhan sistem multimedia bersepadu melalui sebuah head unit dengan TFT 8-inci skrin sentuh (resolusi 1,280 x 720) yang hadir bersama sistem GKUI – ditawarkan sebagai ciri standard untuk semua varian. Buat masa sekarang, ia beroperasi menggunakan platform Android terlebih dahulu sebelum dilanjutkan kepada Apple CarPlay nanti.



Lain-lain kelengkapan termasuk lima ciri yang diketengahkan pada laman utama skrin unit ini; Voice Command, GPS, Music, Phone dan juga System Settings. Untuk menggunakan head unit berkenaan, ia sama sahaja dengan cara kita menggunakan skrin sentuh pada telefon – leretkan ke kanan atau ke kiri untuk melihat aplikasi yang ada.

Selain itu, model ini juga akan didatangkan dengan kelengkapan keselamatan terkini; antaranya dengan ciri AEB dan juga ACC. Perlu juga dinyatakan, X70 sudah pun menjalani ujian panarafan untuk ASEAN NCAP, dan hasilnya membanggakan, dengan penilaian lima-bintang bagi keselamatan penumpang.

Source: Read Full Article