Range Rover Sport HST didedah dengan enjin hibrid ringkas Ingenium enam silinder sebaris 400 PS/550 Nm

Ini adalah Range Rover Sport HST baru, yang merupakan sebuah model edisi khas dan kenderaan produksi pertama daripada Jaguar Land Rover (JLR) yang menggunakan enjin hibrid ringkas asas daripada enjin petrol Ingenium 3.0 liter enam silinder sebaris 3.0 liter serba baru syarikat itu. Walaubagaimanapun, ini bukanlah model Land Rover pertama yang menggunakan enjin hibrid tersebut, kerana itu adalah untuk Evoque terbaru.

Antara perkara menarik pada enjin ini adalah ia menggunakan pengecas turbo twin scroll, serta supercharger elektrik yang menggunakan sistem elektrikal 48 volt, serta mampu memberikan mampatan penuh dalam masa cuma 0.5 saat, sehingga 120,000 rpm. Perkara ini didakwa oleh JLR dapat menghilangkan sebarang kelambatan (lag).

Aspek lain pada sistem hibrid ringkas ini adalah termasuk bateri 48 volt, sistem penjanaan semula kuasa brek dan juga motor elektrik, yang dipadankan bersama enjin 3.0 liter. Motor elektrik ini dapat memberikan bantuan tork sewaktu memecut, bermula dari awal dan turut dilengkapkan dengan sistem start-stop untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

Enjin enam silinder sebaris pada model ini juga datang dengan teknologi Continuous Variable Valve Lift (CVVL) dan Variable Cam Timing (VCT) untuk membantu kecekapannya. Menurut Land Rover lagi, enjin baru ini mengeluarkan kurang 12% karbon dioksida berbanding enjin petrol V6 sebelum ini, sementara penggunaan penapis dapat mengurangkan emisi sebanyak 75%.



Bukan itu sahaja, enjin baru ini juga dapat menghasilkan sehingga 400 PS dan 550 Nm tork, yang mana adalah lebih tinggi berbanding 380 PS dan 450 Nm yang dapat dihasilkan oleh enjin V6 supercharge JLR sebelum ini. Antara catatan prestasinya adalah 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan laju maksimum 225 km/j.

Enjin ini kemudiannya dipadankan besama transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda secara standard, serta suspensi aktif dengan pelarasan spring udara, penyerap aktif serta sistem pemanduan offroad Terrain Response 2.

Untuk membezakan versi HST ini dengan Range Rover Sport biasa, anda boleh melihat pada lencana khas, serta barangan gentian karbon pada kemasan tertentu, bonet, gril hadapan, sirip udara serta pintu but kenderaan ini. Pelanggan boleh memilih dua rekaan rim serta lima warna badan dan angkup brek berwarna sama ada merah ataupun kelabu.

Source: Read Full Article