Renault Megane RS Trophy-R leburkan rekod Honda Civic Type-R di Nürburgring – 3 saat lebih pantas!

Seperti dijangka, Renault tidak akan membiarkan sahaja rekod yang dicatatkan oleh Honda Civic Type R FK8 di Nürburgring dua tahun lalu. Bersama dengan rakaman video, Renault Megane RS dari versi hardcore Trophy-R kini sah sebagai kereta pacuan hadapan produksi terpantas di litar ‘The Green Hell’ berkenaan dengan catatan masa 7 minit 40.1 saat, berbanding 7 minit 43.8 saat yang dicatatkan oleh Civic-R.

Walau bagaimanapun, Megane RS Trophy-R ini hanya akan ditawarkan ke pasaran dengan jumlah terhad, hanya berberapa ratus unit akan dihasilkan, menurut Renault. Kereta berkenaan dijana oleh enjin 1.8 liter turbo dengan talaan kuasa yang sama seperti Megane RS Trophy standard iaitu 296 hp dan tork maksima 400 Nm, bersama kotak gear manual enam-kelajuan (model EDC automatik ditala dengan tork 420 Nm).

Apa yang berbeza, Trophy-R dihasilkan 130 kilogram lebih ringan, dan cermin tingkapnya juga digantikan dengan material plexiglass. Kereta ini juga mempunyai badan yang lebih tegar menerusi rollcage yang dipadankan secara standard. Menurut Renault Sport lagi, aspek aerodinamik juga telah dirombak bersama pembangunan gandar pacuan yang lebih radikal.



Perang kereta produksi pacuan hadapan terpantas di Nürburgring ini telah bermula pada Jun 2014, ketika itu Renault Megane RS Trophy-R generasi sebelum ini telah mencatatkan masa 7 minit 54.36 saat. Rekod berkenaan kemudiannya dipecahkan pula oleh Honda Civic Type-R FK2 dengan catatan masa 7 minit 50.63 saat, sebelum kedudukan nombor satu berkenaan dirampas oleh Volkswagen Golf GTI Clubsport S dengan masa 7 minit 47.19 saat pada Disember 2016.

Honda kembali untuk merampas gelaran tersebut pada April 2017 menerusi model generasi baharu Civic Type-R FK8, dan seperti yang diumumkan hari ini, takhta Raja Pacuan Roda Hadapan di Nürburgring kini telah diambil semula oleh Renault Megane RS Trophy-R. Adakah Honda akan melihat sahaja atau akan mula melakukan sesuatu?

Source: Read Full Article