Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan telah memajak dua unit kenderaan elektrik (EV), Renault Zoe, untuk digunakan dan diuji di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Memetik laporan Bernama, langkah tersebut diambil sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi mengurangkan pelepasan karbon.
Selain itu, MAHB turut berkata ia sebagai sebahagian daripada usaha bagi mengoptimumkan kos operasi dan pemampanan Akreditasi Karbon Lapangan Terbang di Tahap 30-pengoptimis yang diiktiraf oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI). Malah turut berhasrat menambah jumlah EV sekiranya data yang dikumpulkan dari penggunaan pada masa sekarang membuktikan ia bagus.
“MAHB berhasrat menggantikan kereta menggunakan minyak sekarang ini kepada EV kerana ia boleh menyumbang kepada pengurangan pelepasan 19,000kg karbon dioksida yang dihasilkan setiap kereta dalam setahun,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.
Diperkenalkan di Malaysia oleh TC Euro Car, pengedar Renault di sini, pada Mac 2016, Zoe merupakan hatchback lima-pintu dari segmen-B yang diperkenalkan di peringkat dunia pada 2012. Zoe menampilkan unit janakuasa elektrik sepenuhnya dengan motor elektrik tunggal berkuasa 87 hp pada takat 3,000 hingga 11,300 rpm dan tork 220 Nm bermula seawal 250 hingga 2,500 rpm. Motor elektrik Zoe dijana bateri lithium-ion 22 kWh.
Zoe mampu mencapai 48 km/j dari kedudukan pegun dalam masa empat saat dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 13.5 saat. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksima 135 km/j. Ia ditawarkan pada harga RM145,888 tanpa insurans.
Pada tahun lalu, Zoe dipertingkatkan dengan motor elektrik R110 baharu, dengan kuasa meningkat sehingga 108 hp, 225 Nm dan 0-100 km/j dalam 11.4 saat. Kini dengan bateri lithium-ion 41 kWh, ia didakwa boleh digunakan sehingga 300 km. Namun unit yang dipilih oleh MAHB merupakan versi asal dengan motor R90.
Source: Read Full Article