Spoon perkenal angkup dan cakera brek untuk Honda Civic FC – monoblok enam omboh, lebih tahan panas

Penala yang sinonim dengan Honda iaitu Spoon telah pun memperkenalkan produk terbaharunya iaitu set lengkap brek hadapan bagi model Civic Generasi ke-10 yang boleh dipadankan untuk versi sedan empat pintu (FC) dan juga versi hatchback lima-pintu (bukan Type R) FK7.

Set brek berkenaan terdiri dari angkup brek enam omboh, pad brek dan juga cakera yang lebih besar dari komponen standard. Jika anda lihat pada gambar, setiap pasangan omboh pada angkup brek monoblok penuh tersebut dihasilkan dengan ukuran diameter yang tidak sama (36 mm/34 mm/27 mm).

Menurut Spoon, ia direka begitu kerana untuk membolehkan kuasa membrek dari pad ke cakera disampaikan dengan lebih sekata, dan mengelakkan dari masalah pad brek ‘makan secara tidak rata’ di kemudian hari.

Manakala untuk cakera, Spoon memilih saiz dengan diameter 312 mm dan tebal 25 mm untuk kit Civic FC/FK ini setelah banyak ujian dijalankan – saiz tersebut memberikan keseimbangan brek yang paling baik setelah melalui ujian yang banyak.


Spoon menyatakan bahawa brek ini telah diuji dalam pelbagai acara time-attack dan acara-acara litar lain, manakala angkup brek enam pot monoblok tersebut dihasilkan menerusi penyertaan mereka dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance sejak tahun 2016.

Brek ini akan memberikan prestasi terbaik untuk Civic dengan berat badan sekitar 1,300 kg, dalam suhu bekerja sekitar 500 darjah selsius – membolehkan masalah brake judder dielak walaupun selepas dipandu dalam tempoh masa yang lama dilitar.

Set angkup brek ini dijual pada harga 248,000 yen (RM9.1k), cakera pula dijual pada harga 26,000 yen (RM960) sebelah, mankala pad brek pula dijual pada harga 24,000 yen (RM885).

Selain dari set brek ini, Spoon sebelum ini telah memperkenalkan semula rim aloi forged SW388 dan ia turut dihasilkan dalam diameter 18-inci, khas untuk Civic generasi ke-10.

Source: Read Full Article