Dari perkembangan semasa yang berlaku, satu perkara yang agak jelas kelihatan ialah betapa rancaknya kem Proton ketika ini membuat persiapan untuk perancangan masa depan jenama itu. Tak berapa lama sebelum ini kita telah melihat model Geely Binyue yang khabarnya bakal menjadi asas kepada SUV Proton X50 sedang diuji di sini.
Itu model serba baru. Bagi model sedia ada pula, kita juga pernah melihat Proton Persona versi dikemaskini sedang diuji. Tidak lupa juga model Iriz yang tidak ketinggalan akan menerima penampilan terbaru, dan sudap pernah juga dilihat sedang diuji.
Kini, ada satu lagi imej yang dikirim oleh seorang pembaca kami yang mencadangkan bahawa pembaharuan dan kemaskini model yang giat dilakukan oleh Proton ketika ini turut akan diterima oleh model paling asas keluaran syarikat itu, Saga – tiga tahun selepas pengenalan versi terkininya.
Unit yang kita lihat ini penuh dengan pelekat samaran, menjadikannya agak sukar untuk mengecam pembaharuan yang diberikan. Mungkin yang sedikit dapat diperhatikan ialah bampar belakangnya bakal menampilkan rekaan baru, dengan bahagian diffuser yang lebih ringkas berbanding versi sedia ada.
Bahagian depan juga kemungkinan besar akan menampilkan pembaharuan yang sama – melihatkan pembaharuan wajah depan yang sama seperti Iriz – serta rekaan rim baru. Bagi Iriz, ada juga kemungkinan bahagian dalamannya menerima kemaskini, mungkin dengan unit utama bagi infotainmen yang akan didatangkan sekali.
Dari segi mekanikal, mungkin tidak akan ada apa-apa yang baru. Saga akan terus menggunakan enjin 1.3 liter VVT (94 hp/120 Nm) yang dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT.
Source: Read Full Article