Generasi ke-lima Subaru Forester 2019 telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia. SUV segmen-C ini ditawarkan dengan tiga varian – 2.0i-L, 2.0i-S dan 2.0i-S ES – yang dibina dalam Subaru Global Platform dengan casis yang direka semula untuk mengurangkan geseran serta bising jalan dan kawalan maksimum.
Walau bagaimana pun, kesemua varian masih dijanakan oleh enjin yang sama seperti sebelum ini iaitu unit petrol FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan suntikan terus bahan api. Enjin boxer ini mampu meledakkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke semua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dengan tujuh-kelajuan untuk mod manual dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.
Untuk varian tertinggi, 2.0i-S ES, ia menerima sistem bantuan pemanduan EyeSight, menjadikan Forester sebagai model Subaru kedua di Malaysia yang menerima teknologi ini selepas Outback yang telah pun dilancarkan. Senarai untuk sistem ini termasuklah Pre-Collision Braking & Throttle Management, Lane Sway dan Departure Warning, serta Adaptive Cruise Control dan Lead Vehicle Start Alert.
Selain itu, varian tertinggi 2.0i-S ES juga menjadi satu-satunya varian yang menerima Bantuan Menukar Lorong, Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, Paparan Pandangan Tepi dan Pengesan Titik Buta.
Walau bagaimana pun, untuk kesemua varian, ia didatangkan dengan kit keselamatan standard termasuk Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Penvektoran Tork Aktif, bantuan brek, ABS, EBD, penahan kenderaan auto, pengesan undur, isyarat berhenti kecemasan, cagak Isofix dan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu).
Dibawa masuk sebagai unit CBU yang dipasang di Tan Chong Subaru Automotive (Thailand), kesemua varian dipadankan dengan active grille shutter dan lampu utama LED automatik, tetapi hanya varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES didatangkan dengan fungsi respon stereng dan pelarasan auto, serta lampu nyalaan siang LED. Kedua-dua varian ini juga menerima lampu kabus LED dan roda aloi 18-inci dengan tayar profil 225/55. Manakala varian asas dipadankan dengan roda aloi 17-inci bersama tayar 225/60.
Bagi ciri-ciri dalamannya, kesemua varian didatangkan dengan tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-cara, sistem infotainmen dengan skrin lapan-inci, kawalan suhu dwi-zon, paparan kluster instrumen, pedal penukar gear, kemasukan tanpa kunci dan butang push/start, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik, akses kod PIN dan roda stereng pelbagai-fungsi. Tempat duduk balutan kulit untuk dua varian tertinggi, manakala material fabrik untuk 2.0-i L.
Ciri spesifik untuk varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES pula termasuklah pedal aluminium dan liftgate berkuasa. Manakala Special X-Mode iaitu versi yang dipertingkatkan dari X-Mode biasa ditampilkan dengan mod ‘Snow/Dirt’ dan ‘Deep Snow/Mud’, yang tidak lagi memerlukan suis manual untuk mematikan kawalan cengkaman. Manakala varian paling asas kekal dengan X-Mode.
SUV ini turut mempunyai jarak roda yang lebih panjang berbanding model terdahulu iaitu pertambahan 30 mm menjadi 2,670 mm, memberikan ruang dalaman yang lebih luas untuk penumpang belakang. Ruang but secara maksimum boleh mencapai sehingga 2,155 liter dengan tempat duduk belakang dengan nisbah 60:40 dibaringkan (meningkat sehingga 40 liter) dan maksimum bagi bukaan tailgate lebih lebar sebanyak 135 mm.
Ia didatangkan dengan tujuh pilihan warna luaran iaitu Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Jasper Green Metallic, Horizon Blue Pearl, Sepia Bronze Metallic, Dark Grey Metallic dan Crystal Black Silica.
Bagi varian 2.0i-L ditawarkan pada harga RM139,788, manakala 2.0i-S berharga RM149,788 dan RM159,788 bagi varian tertinggi 2.0i-S EyeSight. Kesemuanya adalah harga atas jalan, tanpa insurans dan didatangkan dengan waranti komprehensif selama lima-tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).
Source: Read Full Article