Subaru Forester e-Boxer 2019 tampil di Singapura

Sempena Pameran Permotoran Singapura 2019 yang sedang berlangsung, Motor Image mempertontonkan buat pertama kali model Subaru Forester e-Boxer, yang merupakan versi hibrid bagi Forester generasi kelima ketika ini.

Model ini menggunakan enjin boxer 20.0 liter, suntikan terus, empat silinder yang menghasilkan 145 PS pada 6,000 rpm dan 188 Nm tork pada 4,000 rpm. Unit berkenaan kurang berkuasa jika dibandingkan dengan enjin XV terbaru ketika ini yang hadir dengan 156 PS/196 Nm.

Bagaimanapun, ia dilengkapi pula dengan sebuah motor elektrik dengan janaan 13.6 PS/65 Nm. Motor berkenaan ditempatkan pada Lineartronic CVT, dan memperoleh kuasa dari bateri lithiu-ion 4.8 Ah yang terletak di bawah lantai ruang barangan, dan dicas melalui enjin atau regenerative braking.

Seperti model Subaru yang lain, ia juga turut dilengkapi dengan sistem Symmetrical All-Wheel Drive sepenuh masa dengan X-Mode dan mode SI Drive. Forester e-Boxer ini boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dalam kelajuan rendah untuk jarak terhad, misalnya ketika memulakan pergerakan dari keadaan pegun.

Dalam kelajuan sederhana, enjin dan motor elektrik akan bekerjasama untuk kecekapan lebih tinggi, sementara dalam kelajuan tinggi, hanya enjin yang akan berkerja, dan dalam masa yang sama mengecas bateri. Semua ini ditentukan oleh sistem; pemandu tidak boleh membuat pilihan sendiri.

Selebihnya, versi ini tidak banyak berubah dari segi penampilan jika dibandingkan dengan Forester standard yang ada. Di luar, cuma lencana “e-boxer” yang membezakannya, sementara di dalam, papan pemuka kini menerima satu paparan tambahan untuk maklumat sistem hibrid.


Ruang barangan belakang bagaimanapun ada sedikit perbezaan, bertujuan untuk menampung kedudukan bateri sistem hibrid yang digunakan. Ruang kargonya sedikit lebih kecil dengan hanya 509 liter tersedia – model biasa datang dengan 520 liter ruang.

Kelengpakan pada model yang ditunjukkan di Singapura ini termasuk kawalan pendingin hawa dua zon automatik dengan corong belakang, sunroof boleh dibuka, kemasan kulit, kerusi kuasa elektrik (dengan fungsi Memory untuk pemandu), sistem infotainmen dengan skrin sentuh lapan-inci, rim 18-inci dan sistem keselamatan aktif Eyesight.

Source: Read Full Article