Subaru WRX dan edisi istimewa untuk JDM memang tak dapat dipisahkan. Terbaharu, jenama tersebut telahpun menyiarkan teaser untuk edisi khas terkini digelar WRX STI TC 380, yang akan dibina hanya 50-unit dan dijual pada harga bermula 4,965,840 yen (RM182,232).
Apa yang menarik, model ini di bina di bawah seliaan lagenda rali Jepun yang memandu dan membangunkan kereta rali Subaru di Kejohanan Rali Dunia (WRC) serta Kejohanan Rali Jepun (JRC) Toshihiro Arai. Jumlah kuasa kuda yang akan dihasilkan enjin 2.0 liter boxer turbo berkenaan pula berkemungkinan 380 hp, sama seperti angka pada namanya.
Enjin tersebut akan menerima pelbagai peralatan prestasi dari penala terkenal Jepun, HKS, termasuk kit turbo GT III RS Sport, resonator Super Turbo dan juga catalyser logam. Kerangka kereta ini akan diperkuatkan sendiri oleh Arai Motorsport menerusi pemadanan pendakap pada casis hadapan dan juga membekalkannya dengan penuras udara RQA.
Subaru WRX STI TC 380 ini turut akan dilengkapi dengan lip spoiler gentian karbon serta tempat duduk bucket Recaro yang diberikan nombor siri – kedua-dua ciri ini hanya ada pada model istimewa baharu tersebut. Gambar penuh akan disiarkan Subaru apabila jenama berkenaan mendedahkan kereta ini pada laman web yang direka khas untuknya.
Source: Read Full Article