Suzuki Gixxer SF 250 baru diperkenal di India – RM10k

Segmen motosikal 250 cc semakin meriah dengan kini Suzuki juga menyertainya dengan pelancaran model generasi baru Gixxer SF 250 di India. Ia dijual pada harga bermula 170,655 rupee (RM10,248) dan ditawarkan dalam dua warna iaitu perak dan hitam.

Gixxer SF 250 dikuasakan oleh enjin empat strok satu silinder SOHC 249 cc, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menjana 26 hp pada 9,000 rpm dan 22.6 Nm pada 7,500 rpm. Ini adalah enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api.

Rim pada motosikal ini adalah bersaiz 17 inci, dan di hadapan ia menggunakan tayar saiz 110/70 berserta fork teleskopik manakala di belakang ia menggunakan tayar saiz 150/60 serta suspensi monoshock. Brek pula kedua-duanya adalah unit cakera, lengkap dengan sistem ABS two-channel.



Di bahagian kokpit, terdapat meter digital yang memaparkan segala informasi, manakala lampu utama depan dan belakang menggunakan sistem LED. Antara perincian lain Gixxer SF 250 adalah berat 161 kg, tangki bahan api 12 liter dan tinggi tempat duduk 800 mm.

Sebagai perbandingan dengan model lain, Gixxer SF 250 ini adalah yang paling kurang kuasanya di antara empat pesaing utama iaitu Yamaha R25 (35.5 hp/22.6 Nm tork), Kawasaki Ninja 250 (38 hp/23.5 Nm) dan Honda CBR250R (27 hp/23.3 Nm).

Source: Read Full Article