Maruti Suzuki, pengeluar kereta terbesar India berdasarkan perkongsian pasaran (51% menjelang tahun kewangan 2018), baru-baru ini mengumumkan akan menghentikan jualan kenderaan diesel di negara tersebut menjelang akhir tahun kewangan 2019.
“Mulai 1 April 2020, kami tidak akan menjual kereta diesel. Bergantung pada bagaimana reaksi pelanggan, jika kami mendapati masih ada pasaran untuk kereta diesel, kami akan membangunkannya dalam masa yang munasabah,” ujar R C Bhargava, pengerusi Maruti Suzuki, seperti mana yang dilaporkan oleh Quartz India.
Langkah ini sesulan dengan keputusan India untuk membendung pencemaran yang terhasil daripada kenderaan dengan menetapkan standard emisi yang lebih ketat – Bharat Stage VI (BS0VI) pada tahun 2020 – dari standard semasa Bharat Stage IV (BS-IV). Standard Bharat Stage adalah berdasarkan peraturan Eropah, dan pertama kali diperkenalkan pada tahun 2000.
Pertukaran antara BS IV ke BS VI pertama kali diumumkan pada 2016, selepas India menandatangani Perjanjian Iklim Paris, di mana ia akan dilaksanakan pada 2020. Menurut Laporan Kualiti Udara Dunia 2018 oleh IQAir AirVisual, 22 daripada 30 bandar paling tercemar di dunia berada di India.
Pada masa ini, industri automotif India menentang langkah tersebut, dengan peningkatan harga kenderaan untuk memastikan ia mematuhi piawaian BS-VI, yang mirip dengan peraturan Euro 6.
“Peningkatan harga anggaran satu lakh rupee (seratus ribu rupee atau RM5,981) untuk kereta diesel dan 20,000 rupee (RM1,196) untuk kereta janaan petrol dijangka berlaku dengan peralihan ke BS-VI,” ujar Bhargava. Ini tentunya akan memberikan kesan terhadap pembeli di negara tersebut.
Buat masa ini Maruti Suzuki menawarkan tujuh versi diesel bagi barisan modelnya, termasuklah Swift, Szire, Vitara Brezza, Baleno, Ertiga, Ciaz dan S-Cross. Ia turut menawarkan varian lain bagi sesetengah model ini yang dikuasakan oleh gas asli termampat (CNG), jenis bahan api yang dipromosikan oleh kerajaan India.
Source: Read Full Article