TAS2019 : Koleksi Nissan Skyline GT-R dari Top Secret

Bagi saya, antara semua penala-penala di Jepun, yang paling daring tentulah Top Secret. Ini kerana, pengasasnya iaitu Smokey Nagata adalah individu yang tidak malu untuk turun ke khalayak pelumba-pelumba haram di jalan raya awam (nama ‘Smokey’ itu sendiri adalah kerana beliau tidak lokek untuk belanja ‘burnout’ di mana-mana sahaja!).

Kelibat Nagata bukan hanya dapat dilihat di Jepun, malah beliau pernah memandu dengan kelajuan tinggi lebuh raya awam di Britain dan juga Autobahn Jerman. Di Tokyo Auto Salon (TAS) tahun ini, Top Secret membawakan koleksi Nissan Skyline GT-R mereka dari generasi R32, R33, R34 dan juga Nissan GT-R R35.

Antara yang menjadi perhatian tentulah model-model dari R32 hingga R34. Antara kesemua kereta ini, secara peribadi saya tertarik dengan tiga buah R32 yang dipamerkan. Yang pertama adalah R32 berwarna emas digelar 600R. Kereta ini diubahsuai dengan enjin RB26DETT asal dibesarkan kapasiti dari 2.6 liter kepada 2.8 liter, dan menghasilkan kuasa akhir 600 PS.



Disebelahnya adalah sebuah R32 berwarna hitam yang 100 peratus standard tanpa apa-apa pengubahsuaian. Bukan sahaja enjin masih asli, malah rim, tempat duduk, tombol gear dan juga roda stereng juga masih lagi dalam keadaan.

Yang ketiga adalah R32 berwarna putih diubahsuai secara ekstrem digelar VR-32 GT-R. Dilihat dari luar, ia mungkin kelihatan seperti R32, hakikatnya kereta ini telah menerima enjin VR38DETT 3.8 liter bersama kotak gear dan sistem pacuan semua roda dari Nissan GT-R R35. Bukan itu sahaja, malah bahagian dalaman kereta ini dari papan pemuka hingga tempat duduk belakang turut diambil dari R35.



Apa yang menarik, bahagian lantai dibelakang tempat duduk pemandu telah dipotong bagi membolehkan anda nampak kotak gear yang diletakkan dibelakang sama seperti R35. Enjin pada perut R32 ini mampu untuk menjana 730 PS!

Top Secret turut memberikan sedikit ruang booth mereka kepada pembuat model kereta skala kecil iaitu Ignition Model. Di booth tersebut, pelbagai model skala kecil kereta-kereta binaan Top Secret dipamerkan dan dijual, termasuk figura Smokey Nagata sendiri bersama Skyline VR-32 GT-R.

Source: Read Full Article