Tahukah anda, Toyota Hilux tidak lagi dijual di Jepun bermula tahun 2004 dan hanya kembali ke negara tersebut pada September 2017? Itu pun trak pikap berkenaan tidak dipasang di sana, sebaliknya diimport dari kilang Toyota Thailand. Jadi dengan kembalinya semula Hilux di pasaran JDM, trak pikap ini tidak terkecuali untuk mendapat sentuhan lebih sporty dari Toyota Racing Development (TRD).
Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2019, Toyota turut membawa salah satu Hilux TRD berkenaan, dan yang anda lihat kali ini digelar sebagai Hilux TRD Black Rally Edition. Model istimewa ini diberikan scuff plate hadapan bersama pelindung bawah yang dilarik dengan perkataan “TRD”, perumah lampu kabus berwarna merah, mud flap ala-kereta rali dengan kemasan aluminium di bawah, tip ekzos berkembar, sports bar TRD pada bed belakang, pemijak sisi dan juga pelekat TRD pada bahagian bawah pintu.
Trak pikap TRD ini juga diberikan rim baharu kemasan hitam bersaiz 17-inci. Tetapi walaupun ada perkataan ‘Rally’ pada namanya, ia hanya dipadankan dengan tayar jenis All-Terrain dan tidak khusus untuk penggunaan permukaan off-road lebih lasak.
Kami tidak diberikan kebenaran untuk melihat bahagian dalaman Hilux TRD ini, namun dalam brosur yang diberikan tercatat bahawa ia menerima sistem pembesar suara JBL bersama peralatan-peralatan TRD lain seperti tombol gear kulit balutan kulit, pelindung pemegang pintu, penutup pengisi minyak serta penghadang matahari.
Tiada peningkatan kuasa kuda diberikan. Untuk pasaran Jepun, Hilux hanya menerima enjin 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel dengan sistem suntikan diesel terus common-rail menghasilkan kuasa 148 hp pada takat 3,400 rpm dan juga tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm.
Tidak ada kotak gear manual ditawarkan, di mana ia hanya diberikan kotak gear automatik enam-kelajuan Super ECT. Kesemua model juga datang standard dengan bentuk badan twin-cab dan juga sistem 4WD yang boleh diubah menggunakan suis putar serta mod pemanduan Eco dan Power.
Source: Read Full Article